Buku yang disusun oleh penulis, Amir Muhammad merupakan buku Bahasa Melayu pertama yang dilancarkan di pesta jualan itu sejak dianjurkan lima tahun lalu.

Pengarah Urusan BookXcess, Andrew Yap berkata, pihaknya be­kerjasama dengan syarikat penerbitan, Fixi bagi membolehkan buku mengenai cerita misteri, imaginasi, seram dan satira itu dilancarkan pada jualan buku berkenaan.

“Sambutan untuk buku Malam sangat membersangsangkan. Kami berjaya menjual sebanyak 3,000 salinan yang dicetak khas untuk Big Bad Wolf.

“Buku yang baru diterbitkan biasanya agak mahal tetapi kami menjual pada harga RM8 dan ia boleh dibeli oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Big Bad Wolf telah dianjurkan Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Seri Kembangan di sini.

Buku Malam mengandungi cerita yang ditulis oleh 18 penulis yang diberi masa selama 48 jam untuk menyiap cerpen dengan 1,500 patah perkataan.

Sementara itu, Amir berkata, buku itu dilancarkan pada Big Bad Wolf kerana ia adalah jualan buku paling mendapat tempat dalam pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

“Semua cerita di dalam buku Malam adalah fiksyen tetapi mengandungi elemen realiti. Apa yang saya suka mengenai buku ini ia turut memuatkan unsur jenaka,” katanya.