Pengarah Lembaga Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, bentuk batuan unik seakan sebuah dek kapal yang terkandas, terletak berhampiran puncaknya dengan sebatang anak sungai jernih mengalir di sisi dalam alam belum terusik sudah cukup menjadi tarikan.

Katanya, ia boleh dimajukan secara terancang sebagai satu kawasan hutan lipur,apatah lagi kedudukannya yang berhampiran kawasan air terjun, cukup sesuai bagi dijadikan tempat rekreasi seisi keluarga.

Katanya, berdasarkan mitos orang kampung, dikatakan kapal berkenaan dimiliki oleh pedagang China dan akibat terkandas dalam tempoh yang lama menyebabkan ia bertukar menjadi batu.

"Pertama kali saya ke sini pada 1987 bersama-sama Persatuan Sejarah Terengganu dan Pejabat Daerah HuluTerengganu. Kita tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai Batu Kapal ini namun mitos penduduk kampung itu sudah menjadikan kawasan ini istimewa.

"Keadaan sama ini boleh dilihat sebagaimana di Bukit Jong. Berdasarkan fizikal, saiz batu kapal di Kampung Gerdong lebih besar daripada perahu layar yang terdapat di Muzium Negeri. Struktur yang ada ini seolah-olah merupakan bahagian dek," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Bukit Batu Kapal yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Berang, berada pada ketinggian kira-kira 152 meter dari paras laut dan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke puncak.

Ketulan batu sepanjang kira-kira 21 meter dan setinggi 4.5 meter itu bagaimana suatu arca yang ternyata mirip tinggalan sebuah kapal.

Baru-baru ini, Mohd. Yusof turut serta bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, juga Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin dan Pegawai Hutan Daerah (Terengganu Barat), Mohd. Asri Yussof meninjau kawasan itu.

Menurut Mohd. Yusof, pihaknya bersedia bekerjasama dengan agensi lain dalam membangunkan produk pelancongan terbaharu itu selaras kedatangan Tahun Melawat Terengganu tahun depan.

Sementara itu, Zaliha memberitahu, pihaknya giat mempromosikan tempat menarik di Terengganu melalui program ‘Cuti Cuti 1 Malaysia Dekat Je’ dan Bukit Batu Kapal berpotensi untuk diketengahkan di peringkat domestik sebagai produk pelancongan melalui tarikan alam sekitar yang ada.

Malah, katanya, lokasi itu juga boleh dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa selepas diluluskan sebagai destinasi hutan lipur bagi mendapatkan peruntukan untuk membina kemudahan bersesuaian.