Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, kesemua 15,000 pengguna itu merupakan golongan miskin tegar yang berdaftar dengan sistem e-kasih dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Program pemberian air percuma itu sebelum ini dilihat ‘tersasar’ kerana tidak membantu golongan yang sepatutnya mendapat bantuan subsidi. Sebahagiannya merupakan orang berkemampuan yang tinggal hanya dua atau tiga orang di dalam sebuah rumah dan itu menyebabkan mereka menggunakan air kurang dari 20 meter padu.

“Setelah perbincangan dilakukan, kami tukar sistem pemberian subsidi itu. Bermula 1 Ogos, hanya mereka yang benar-benar layak dan mendaftar dengan sistem e-kasih layak memperoleh subsidi berjumlah RM10 sebulan itu,” katanya selepas menyertai program gotong royong di sepanjang Sungai Anak Bukit di sini, hari ini.

Memetik sumber, Utusan Online dalam laporannya semalam mendakwa jumlah penduduk di Kedah yang menikmati insentif bekalan air percuma seperti diberikan ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkurangan daripada 220,000 akaun pengguna domestik sebelum ini kepada hanya 60,000 saja.

Sumber itu memaklumkan, pengurangan tersebut bermula bulan ini iaitu kira-kira sebulan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji semula mekanisme pengecualian caj bekalan air berkenaan.

Perkara itu merupakan antara yang termaktub dalam Bajet 2018 dibentangkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pada 12 November tahun lalu dan mula dilaksanakan pada Januari tahun ini dengan pengguna yang menggunakan air sebanyak 20 meter padu atau RM10 ke bawah tidak perlu membuat pembayaran kerana diberi subsidi oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut katanya, bagi memastikan pemberian subsidi itu benar-benar memanfaatkan golongan sasar, kerajaan negeri turut melakukan penambah baikan.

“Kalau dulu, jika bil air mereka melebihi RM10, mereka perlu membayar jumlah penuh kerana kerajaan terdahulu menetapkan pembayaran subsidi itu hanya diberikan kepada mereka yang menggunakan air kurang dari 20 meter padu atau RM10 ke bawah.

“Tetapi sekarang jika pengguna yang layak itu menggunakan RM12 contohnya, dia hanya perlu membayar RM2 dengan RM10 itu tetap ditanggung oleh kerajaan negeri. Kaedah itu diyakini lebih tepat untuk membantu golongan sasar,” katanya.

Tambahnya mana-mana pengguna yang merasakan mereka layak untuk terus menerima insentif itu boleh membuat rayuan. - UTUSAN ONLINE