Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, oleh itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berperanan sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyelidikan yang diharap dapat mendatangkan manfaat kepada semua. 

Melalui penerbitan pelbagai buku juga, adalah diharap dapatan kajian yang telah dijalankan boleh disebar-luaskan kepada masyarakat, dan ini akan memantapkan lagi perkembangan ilmu yang bakal diwarisi generasi akan datang, titah baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menerima kunjungan mengadap oleh Duta Besar Negara Poland ke Malaysia Krzysztof Debnicki dan isteri, Ewa Debnicka di Restoran Blackwood - Gallery SD28 Kangar.
 
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir ialah Setiausaha Kedua merangkao Timbalan Ketua Perwakilan Poland di Kuala Lumpur, Maciej Tumulec.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor universiti berkenaan turut menambah bahawa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus proaktif bagi memacu Pelan Strategik 2018-2025 yang telah dirancangnya.

Walaupun pelbagai kejayaan manis yang telah UniMAP berjaya tempuhi sepanjang tahun 2018 yang lalu, namun universiti itu diharap tidak mudah berasa selesa dengan semua itu, titah baginda.

"Ini adalah kerana bidang pendidikan dunia hari ini sedang berkembang dengan begitu pantas sekali," titah baginda.

Untuk rekod, baru-baru ini UniMAP mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating. UniMAP merupakan universiti ke-8 daripada 21 buah universiti awam di Malaysia yang menerima pengiktirafan lima bintang ini. 

Terdahulu, pada sebelah siangnya Debnicki mengadakan perbincangan dengan pihak UniMAP bagi merencanakan perancangan dua hala di antara negara beliau dengan universiti itu disusuli dengan syarahan umum berjudul ‘Foreign Policy of Poland In The Light Of Poland Historical Experience’. - Utusan Online