Timbalan Muryidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, situasi tersebut harus dijadikan iktibar untuk semua pihak khususnya parti-parti politik agar tidak lagi menanam rasa kebencian dan permusuhan sesama sendiri.

"Kita sepatutnya begitulah (saling tolong menolong) tanpa mengira fahaman politik dan sebagainya. Kita mesti tolong tidak kira sesiapa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Lama Kumpulan PKINK 2016 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, pihaknya akan terus mengerakkan sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Amal Pas bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

"Kita harap semua pihak juga dapat membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, Kedah dan mana-mana negeri yang ditimpa musibah," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya sudah bersiap sedia dalam menghadapi banjir di negeri ini dengan segala aset dan kekuatan anggota keselamatan telah ditempatkan di pangkalan hadapan.

"Kita berdoa supaya tidak menerima musibah besar, itu yang paling utama sekali. Saya juga menyeru rakyat di negeri ini mengadakan solat hajat memohon doa daripada Allah agar negeri ini bebas banjir," katanya.- UTUSAN ONLINE