Itu adalah gambaran berdasarkan kajian dilakukan Pakatan Harapan yang diketuai DAP baru-baru ini. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan sambutan rakyat terhadap jelajah Pakatan Harapan yang dilakukan di negeri terbabit.

Sama ada gambaran ini meletakkan kem lawan dalam keada­an tidur yang tidak lena disulam mimpi ngeri, namun ini bukan satu kejutan sebenarnya. Mene­rusi kaji selidik pelbagai pihak sebelum ini, hasilnya kerap tidak condong atau memihak kepada pemerintah.

Sekalipun tidak ada kesahihan yang testimonial berkenaan kajian seperti itu, penanda aras sokongan rakyat Johor masih boleh ‘diukur’ dalam media sosial dan kehadiran orang ramai di pentas-pentas politik anjuran pihak pembangkang.

Walaupun itu bukan culaan politik yang tepat dan tuntas, dapatannya tidak meragukan malah selari dengan situasi politik milenium. Sentimen penolakan terhadap pemerintah berlaku di mana-mana di Semenanjung dan ia bukan satu rahsia lagi.

Reaksi awal BN Johor apabila berdepan dengan ‘ancaman’ ini, mereka cuba menafikan kemaraan Pakatan Harapan yang semakin ‘hampir’ menawan nege­ri ini sebagai benteng terakhir BN di Semenanjung. Sokongan rakyat Johor terhadap BN ketika ini lebih kepada di kampung dan kawasan Felda.

Hampir seminggu selepas kajian itu didedahkan, pembahagian kerusi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan PAN diumumkan di negeri ini dan mereka yakin akan menawan Johor melalui manifesto dan tawaran-tawaran spesifik untuk rakyat Johor.

PPBM akan bertanding di 18 kerusi, DAP di 14 kerusi manakala PAN dan PKR masing-masing di 12 kerusi sementara pecahan kerusi berkenaan akan diumumkan selepas ini.

Johor kini mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Nege­ri (DUN) dan daripada jumlah tersebut, BN mempunyai 37 ke­rusi dan Pakatan Harapan hanya menyandang 16 kerusi sementara Pas pula tiga kerusi. Jika hendak mendapat kuasa majoriti dua pertiga, perlukan 36 kerusi. BN sekarang ada 37 kerusi, maka BN masih ada kuasa majoriti dua pertiga.

BN Johor merangkumi 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO, dua ADUN MCA, satu Gerakan dan tiga MIC. Sebelum ini semasa berlaku ‘gelora’ politik di Johor terutama isu lompat parti semasa fenomena PPBM melanda, mereka menyatakan taat setia kepada parti dan kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, 16 ADUN Pakatan Harapan pula melibatkan 13 ADUN DAP dan masing-masing satu ADUN PAN, PKR dan ADUN PPBM. Kerusi ADUN PAN dan PPBM itu adalah selepas wakil rakyat masing-masing meninggalkan Pas dan UMNO, manakala tiga lagi masih kekal milik Pas kerana penyandangnya terus berjuang bersama-sama parti itu.

Paling menarik pada PRU-14 adalah pertembungan PPBM termasuk di kerusi-kerusi tradisi UMNO, antaranya di DUN Permas, Kempas, Benut, Bukit Serampang, Jorak dan Medan yang akan menjanjikan pertarungan sengit.

Begitu juga percubaan PAN merampas Nusajaya, Pulai Sebatang, Kemelah, Parit Yaani, Mahkota dan Kukup. DAP pula akan berusaha mengekalkan cengkamannya di Tangkak, Jementah, Bekok, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Skudai, Pangkalan Rin­ting, Senai dan Pekan Nanas. Majoritinya adalah kubu mereka dan kawasan pengundi Cina.

PKR pula yang hanya mempunyai satu kerusi ketika ini iaitu di Bukit Batu akan cuba menawan hati pengundi di Johor Lama, Pemanis, Tiram, Sungai Balang, Semerah, Layang-layang, Bukit Naning, Rengit, Tenggaroh dan Tanjung Surat.

Perhitungan kali ini amat be­risiko dan mencemaskan kerana kawasan-kawasan ditandingi Pa­ka­tan Harapan adalah kerusi panas selain dimiliki pemimpin-pemimpin tertinggi BN negeri termasuk Menteri Besar dan beberapa barisan Exco kerajaan negeri.

Peluang BN atau Pakatan Harapan untuk menang juga sama rata kerana terdapat kerusi-kerusi marginal yang dimenangi UMNO atau parti komponen BN de­ngan majoriti tipis. Menariknya juga bukan sahaja BN dan Pakatan Harapan akan berebut kerusi dengan taktikal politik masing-masing tetapi juga empat parti dalam Gagasan Sejahtera Johor yang baru dilancarkan bulan lalu.

Pas yang merupakan parti induk Gagasan Sejahtera Johor sudah tentu tidak akan memberikan laluan mudah kepada BN dan Pakatan Harapan. Mereka mungkin akan menjadi faktor ‘penyelamat’ BN sebagai pemecah undi pada kali ini walaupun Pas kalah dalam PRU-14.

Walaupun Pakatan Harapan memerlukan hanya 13 kerusi lagi untuk majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas PRU-14, tetapi itu bukan mudah tapi tidak mustahil. BN kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti mudah pada PRU-13 tetapi terdapat lapan kerusi dianggap sebagai kawasan yang sangat berbahaya kepada BN negeri.