Ini kerana Ketua UMNO bahagian itu sering turun padang di setiap kawasan dan ceruk kampung bagi mendekati masyarakat.
Meskipun kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu dikuasai pembangkang, ia tidak pernah menjadi halangan untuk beliau menabur bakti dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
Wartawan Utusan Malaysia, ASLIZA MUSA menemu bual Syed Abu Hussin Hafiz mengenai situasi politik dan masa depan Parlimen Bukit Gantang apabila Barisan Nasional (BN) dapat merampas Parlimen itu dan dua DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL
SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL

UTUSAN: Bagaimana situasi politik di Bukit Gantang?

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL: Dalam PRU-13, Parlimen Bukit Gantang dimenangi calon Pas iaitu Idris Ahmad manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering masing-ma­sing dimenangi oleh Chua Yee Ling daripada PKR dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas (kini PAN). Hanya satu kerusi iaitu DUN Trong sahaja dimenangi BN menerusi Datuk Dr. Zabri Abd. Wahid. Walaupun memenangi kerusi di sini, kelibat wakil rakyat pembangkang ini memang jarang kelihatan. Mereka hanya wakil rakyat di atas kertas sahaja. Sukar untuk melihat mereka turun padang meninjau masalah mahupun membantu penduduk walaupun wakil rakyat di kawasan ini merupakan anak tempatan. Ini kegagalan utama mereka apabila kepercayaan yang diberikan rakyat di sini gagal untuk diterjemahkan dengan memberi khidmat kepada masyarakat.

SEPANJANG dua penggal kawasan ini dikuasai pembangkang, apakah kemajuan dan pembangunan yang dibawa oleh mereka?

Tiada sebarang kemajuan. Bu­kit Gantang merupakan sebuah Parlimen dan hanya mempunyai pekan kecil yang tiada sebarang pembangunan. Kita faham walaupun mereka tidak boleh mendapatkan peruntukan kerajaan, mereka boleh usahakannya menerusi bantuan daripada syarikat korporat contohnya seperti bantuan van jenazah dan van bagi Sekolah Agama Rakyat. Malah, masalah kecil dan tidak memerlukan modal pun mereka tidak mampu lakukan. Misalnya mana-mana penduduk menghadapi masalah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), urusan pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan permohonan bantuan lain pun tidak mampu mereka selesaikan. Apa yang mereka boleh lakukan hanya adakan ceramah, sebarkan tohmahan dan cipta kebencian orang ramai menerusi fakta tidak tepat.

APA jangkaan corak pengundian PRU-14?

Pengundi akan buat perubahan dalam PRU-14 kali ini. Saya yakin BN akan menang se­mula kerusi Parlimen dan DUN di sini. Kekecewaan mereka akan dibuktikan dalam PRU-14 nanti. Saya tahu mereka akan buat perbandingan tentang faedah diperoleh sekiranya memilih BN berban­ding memilih pembangkang yang sedia maklum gagal menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat di sini.

DUN Kuala Sepetang memiliki majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Me­layu. Adakah ini menjadi satu kelebihan untuk merampas semula kerusi DUN tersebut?

Selain pengundi Melayu bertambah di Kuala Sepetang, kita juga menyusun atur perancangan di kawasan tersebut. Sekiranya UMNO diberikan kepercayaan untuk bertanding di sana, Insya-Allah DUN Kuala Sepetang kembali semula kepada BN. Undi Melayu berubah 100 peratus kerana penduduk mahukan wakil rakyat Melayu mewakili mereka.

APA faktor untuk menarik pengundi kembali semula kepada BN?

Selepas dilantik sebagai Ketua UMNO bahagian, saya terus menjalankan kerja tanpa henti. Ada dua perkara yang saya lakukan iaitu pertama adalah mendapatkan peng­undi dan menguruskan mereka. Jentera kita sentiasa bergerak untuk mendekati go­­lo­ngan ini. Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan kita akan bantu dan bawa masalah mereka untuk diselesaikan. Yang kedua adalah menguruskan persepsi. Kita menggunakan semua medium media sosial untuk menerangkan perkara sebenar tentang sesuatu isu. Kita juga mengadakan ceramah untuk memberitahu mereka dan pastikan persepsi yang diterima itu adalah benar.