Penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DATUK ZOLKAFLY HARUN mengakui pengundi di sini sudah sedar kesilapan mereka memilih pembangkang dalam PRU-13.

Bersama Wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS, Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput itu mengulas lebih lanjut perubahan pengundi di kawasan itu yang kini beralih kepada BN.
 

UTUSAN: Bagaimana keadaan di Sungai Siput setelah dua penggal dikuasai pembangkang?

ZOLKAFLY: Ia merupakan tempoh yang mengecewakan kerana pembangkang gagal membawa pembangunan. Janji mereka hanya janji bulan dan bintang tapi tidak ditunaikan. Rata-rata pengundi kecewa dan mengakui tersilap sebab terpengaruh dengan pembangkang. Ini perubahan yang berlaku. Saya yakin BN berpeluang cerah merampas Sungai Siput dalam PRU-14. Ke­gagalan wakil rakyat pembangkang membuatkan rakyat berfikir semula dan mengundi BN supaya ada perubahan di sini.

APA perkara yang dibangkitkan rakyat di sini dan gagal diselesaikan wakil rakyat pembangkang?

PERKARA yang dirasai di sini ialah pembangunan, isu pendidikan dan kesihatan. Rakyat seolah-olah tiada tempat mengadu menyebabkan mereka membawa masalah kepada BN. BN yang membantu mereka dalam pelbagai masalah. Keadaannya sudah tentu berlainan jika wakil rakyat BN di pilih di sini.

Kalau mengikut perkiraan selama dua penggal atau 10 tahun, berapa banyak peruntukan kepada Ahli Parlimen yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan tapi tidak dapat dirasai penduduk di sini.

WALAUPUN wakil rakyat Sungai Siput dari pembangkang, BN tetap melaksanakan pembangunan di sini. Apa pembangunan yang telah dibawa?

SAYA sebagai penyandang ADUN Jalong, berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat di sini dengan membawa pembangunan daripada kerajaan antaranya mercu tanda baharu, Sungai Siput Square yang berharga RM3 juta. Selain itu projek ladang yang melibatkan kos RM250 juta, sedang dalam pembinaan. Ia merupakan projek begitu besar dijangka wujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Saya juga mencadangkan kawasan seluas 200 ekar (80 hektar) di Wilayah Bekut dan Felda Lasah sebagai tapak kampus institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), sekolah berasrama penuh juga cadangan kompleks sukan, namun belum ada maklum balas.

BAGAIMANA peluang BN untuk merampas semula Parlimen Sungai Siput dan DUN Jalong?

SAYA yakin BN boleh merampas kedua-dua kawasan ini kerana rakyat sudah kecewa dengan per­khidmatan wakil rakyat pembangkang. Rakyat sudah menilai apa BN lakukan. Untuk DUN Jalong, calon BN, Datuk Tan Lian Hoe bekerja keras di kawasan itu dan beliau diterima rakyat. Maklum balas yang diterima amat baik.

PARLIMEN Sungai Siput mempunyai pengundi dalam kalangan peneroka Felda dan Orang Asli. Sejauh mana sokongan mereka kepada BN?

Diakui pembangkang cuba meraih sokongan daripada kedua-dua kelompok ini namun gagal. Peneroka Felda tetap menyokong kerajaan dan isu yang cuba dibawa pembangkang seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd.

(FGV) dan hutang peneroka sudah dijelaskan. Mengenai masyarakat Orang Asli, pembangunan diberikan kepada mereka seperti di KampungBawong. Di situ didirikan sekolah menengah berasrama penuh pertama untuk pelajar Orang Asli, masjid pertama untuk Orang Asli, juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bawong.