Waktu inilah lalu lintas sesak dan sudah pasti kita dapat melihat banyak kemalangan berlaku.

Walaupun tidak melibatkan kemalangan nyawa, situasi kenderaan melanggar dan dilanggar, mahupun bergesel sering berlaku, lebih-lebih lagi hujan lebat dan tidak nampak jalan.

Sebagai pengguna kita sering diingatkan semasa memandu ketika cuaca hujan, patuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati.

Memandulah secara perlahan, gunakan gear rendah dan nyalakan lampu ken­deraan.

Namun malang tidak berbau, kemalangan tetap akan berlaku kepada sesiapa dan di mana-mana sahaja. Banyak faktor penyebab berlakunya kemalangan pada waktu hujan. Selain tidak fokus, ada sebab lain se­perti keadaan jalan raya itu sendiri.

Keadaan jalan raya pada waktu hujan memang licin kerana terdapat percampuran air hujan serta juga minyak tar dan bekas tayar-tayar kenderaan.

Gabungan ini menjadikan jalan raya begitu licin.

Secara sedar atau tidak, keadaan cuaca hujan sejak kebelakangan ini memburukkan lagi keadaan jalan raya di sekitar ibu kota yang sudah sedia teruk.

Apabila tiba waktu hujan, air hujan akan memenuhi atas jalan raya. Oleh kerana keadaan jalan raya ada lopak yang besar dan kecil, ini mewujudkan lopak-lopak air yang pada mata kasar pemandu hanyalah tompokan air biasa.

Jika memandu laju, tayar kenderaan akan melalui lopak air dan inilah yang membuatkan kemalangan berlaku.

Jika sebelum ini penunggang dan pembonceng motosikal lebih menyuarakan kebimbangan tentang permukaan jalan berlubang dan struktur jalan yang tidak rata, kini perasaan itu beralih pula kepada pengguna kendera­an.

Memanglah hujan tidak kena kepada yang memandu, tetapi mereka tetap terdedah kepada risiko kemalangan.

Aduan dan rungutan yang di­terima kami di Utusan Kota mengenai jalan rosak di sekitar ibu negara bukanlah barulah. Lebih-lebih lagi berhampiran kawasan pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) dan kawasan-kawasan pembinaan.

Lihat sahaja sepanjang Jalan Istana menuju Jalan Mahameru dan ke Jalan Duta terdapat banyak lubang sepanjang laluan itu.

Tidak terkecuali di Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Jelatek hinggalah ke Wangsa Maju.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib setiap kali diajukan persoalan sama mengenai keadaan jalan raya yang teruk di ibu kota jelas memperlihatkan kese­riusannya dalam menangani isu itu.

Namun sehingga ke hari ini tidak jalan penyelesaian bagi jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah itu.

Selagi pihak bertanggungjawab bersikap ambil mudah terhadap masalah ini, selagi itulah kita perlu bersiap siaga bagi mengelakkan diri dan pemandu lain ditimpa musibah semasa pemanduan.

Cuaca bukan penyebab utama kepada kecelakaan, sebaliknya banyak faktor, termasuk keadaan jalan raya.

Jika kita tidak fokus, hilang keberanian memandu ketika cuaca hujan, tangguhkan dahulu perjalanan.

Lebih baik menunggu hujan berhenti daripada mendedahkan diri kepada risiko kemalangan.