Ekspedisi di Su­ngai Pahang yang julung kali dianjurkan oleh UKM itu turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

Ketua ekspedisi, Muhammad Naeimmuddin Zakaria berkata, selain sebagai riadah, program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada penuntut tentang aktiviti luar yang lebih mencabar dan mendekatkan mereka dengan masyarakat.

“Sepanjang tiga hari ekspedisi ini dijalankan, peserta bukan sahaja berkayak sejauh 100 kilometer menyusuri Sungai Pahang tetapi bersama masyarakat Kampung Batu Bor di Bera, dekat sini bagi menjalankan aktiviti khidmat masyarakat.

“Menerusi kerjasama pelatih GiatMara, kita menjalankan pemeriksaan keselamatan pendawaian elektrik di rumah penduduk kampung berhampiran Sungai Pahang,” katanya di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin merasmikan ekspidisi berkenaan.

Menurut Muhammad Naeimmuddin, program berkayak di Sungai Pahang itu bermula dari Temerloh Waterfront di sini dan berakhir di Kampung Serengkam, Maran.

Selain mahasiswa UKM, katanya, program tersebut turut disertai pelbagai universiti awam yang menghantar wakil masing-masing.

“Kami berpuas hati kerana program ini berjalan lancar dan mencapai matlamat untuk memberikan pelbagai pengalaman baharu kepada peserta,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Afiq Appandi Rohaizad, 20, berkata, dia memperoleh pelbagai pengalaman baharu di samping dapat menikmati keindahan semula jadi Sungai Pahang yang terkenal di negara ini.

“Saya berharap aktiviti se­perti ini terus diadakan kerana ia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah tetapi menanam sikap cintakan alam semula jadi dalam kalangan peserta,'” katanya.