Lantaran itu, dia mahu melihat DUN Sungai Rapat yang dimenangi pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) supaya kemajuan meluncur laju di kawasan itu. Sebagai anak jati Sungai Rapat, Aswanuddin yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Perak berhak menyuarakan pandang beliau mengenai isu dan harapannya mengenai Sungai Rapat.

Bangunan Silveritage menjadi mercu tanda penduduk Sungai Rapat.
 

UTUSAN: Dilahirkan dan membesar di Sungai Rapat, apa yang dirasai apabila kawasan sendiri tiada kemajuan?

Aswanuddin: SAYA lahir di Rapat Setia Baru, emak berasal dari Sungai Rokam manakala bapa orang Gunung Mensah Hilir.

Bermakna saya anak jati di sini dan sudah 15 tahun terlibat dalam aktiviti belia. Saya akui kecewa dengan keadaan Sungai Rapat. Tiada apa yang hendak dibanggakan sedangkan ia mempunyai potensi untuk membangun kerana merupakan pintu masuk melalui udara dan lebuh raya.

Di sini juga ada pangkalan udara TUDM, Politeknik Ungku Omar (PUO) yang cukup ter­kenal, namun kawasan ini masih ketinggalan.

Paling ketara ramai belia yang sudah berhijrah kerana kurangnya peluang pekerja juga harga rumah mahal.

Sesuatu yang merugikan kerana belia mempunyai pendidikan tinggi akhirnya terpaksa berhijrah.

Apa yang pembangkang lakukan kepada penduduk di sini?

Tiada apa. Mereka hanya memberi sekampit beras dan sekilogram gula.

Pembangkang tiada visi jelas khususnya kebajikan dan pembangunan rakyat, mereka lebih kepada hal-hal retorik. Sedang­kan BN fikir apa yang rakyat mahu, kurang retorik.

BN tidak perlu berceramah malam tapi buat kerja. Rakyat merungut wakil rakyat pembangkang tidak mampu selesaikan masalah.

Dari segi kemajuan dan pembangunan, bagaimana perbandingan Sungai Rapat dan kawasan lain di Ipoh?

Sebagai contoh, sekurang-kurangnya di Manjoi sudah ada pusat beli-belah Mydin, barangnya murah dan memberi manfaat kepada orang Manjoi.

Tapi di Sungai Rapat tiada apa-apa. Secara perbandingan Manjoi dan Sungai Rapat komposisinya sama yang mana majoritinya orang Melayu. Kami di sini rasa macam ketinggalan, lekeh kalau nak dibandingkan pembangunan seperti di kawasan Meru.

Inilah yang menghairankan kami.

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Ini adalah masa untuk mengubah keadaan ini kerana pengundi perlu sedar tiada manfaat untuk terus beri sokongan kepada pembangkang. Terbukti hanya BN yang boleh jaga rak­yat. Tiada kerajaan sebaik BN yang banyak memberi inisiatif, BN kerajaan yang mendengar suara rakyat bukan seperti pembangkang yang mahu rakyat mendengar mereka.

Apa kriteria pemimpin yang layak untuk membawa pembangunan di Sungai Rapat?

Saya rasa sudah tiba masanya golongan muda diberikan banyak peranan.

Sudah menjadi trend malah di banyak negara di dunia pun golongan muda diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin malah sehingga ada bergelar Perdana Menteri dalam usia muda.

MBM Pe­rak menyokong jika BN mahu mengetengahkan pemimpin muda dalam PRU-14.