Dalam hal ini penulis turut bersimpati apatah lagi apabila terpaksa berdepan dengan kesesakan yang bukan sahaja berlaku di pusat bandar tetapi sebaik sahaja memasuki Plaza Tol Ayer Keroh.

Namun bagi kebanyakan yang lain, masalah kesesakan itu seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi bahkan bila­ngan pelancong yang masuk ke ne­geri ini tetap bertambah. Persoalannya apakah keistimewaan yang dimiliki Me­laka sehingga tetap menjadi destinasi pilihan ramai walaupun jalan rayanya sesak teruk.

Melaka mempunyai ba­nyak produk pelancongan yang menarik dan indah. Makanannya enak, destinasinya cukup menarik bahkan kemudahan hotelnya juga serba lengkap. Penulis percaya faktor ini semua adalah ‘penarik’ untuk orang ramai datang ke Melaka.

Melaka juga semakin dikenali di peringkat antarabangsa melalui pelbagai pencapaian. Antaranya menjadi 10 destinasi terbaik yang perlu dilawati di Asia oleh The Lonely Planet.Com; 25 destinasi pilihan oleh Trip Advisor.Com; lokasi bersejarah paling ramai dikunjungi selepas Kuala Lumpur dan antara lima lokasi beli-belah terbaik di Malaysia.

Melaka juga diiktiraf menerima anugerah antara 50 lokasi tempat makan terbaik di seluruh dunia dan pengiktirafan oleh majalah Where To Travel & Lifestyle terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menerusi anugerah The Tourism Guru.

Bercakap tentang anugerah, Idris berkata, beliau dan kerajaan negeri menerima empat anugerah dan pengiktirafan dalam tempoh seminggu iaitu Anugerah Khas Perdana Menteri Kategori Individu sempena Anugerah Pelanco­ngan Malaysia (APM); Anugerah Tourism Hero daripada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Dua lagi anugerah adalah Teknologis Profesional daripada Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan anugerah Ikon Pembangunan Sukan sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka.

Pengiktirafan yang diberikan itu menurut Idris, dinilai daripada dua faktor iaitu bilangan pelancong yang berkunjung ke Melaka dan usaha berterusan kerajaan negeri bagi mengangkat industri pelancongan.

Ketika ditanya mengenai kesesakan lalu lintas, Idris berkata, masalah itu sedang diatasi kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat termasuk melalui kaedah pen­yu­raian trafik yang sedang dilaksanakan.

Bahkan beliau yang memandang serius permasalahan itu mengakui bahawa soal ke­selesaan pengguna jalan raya sepatutnya diberi keutamaan dan usaha mengatasinya sedang giat dilakukan.

Jadi kepada pengunjung di luar sana, janganlah ‘serik' untuk berkunjung ke Melaka kerana kesesakan itu tidaklah seteruk berbanding keindahan dan keunikan yang menanti anda di negeri ini.