Itu yang cuba diterapkan oleh Pertubuhan Mahasiswa Negeri Sembilan (Manis) melalui program Gelombang Baktisiswa Mega 2018 yang dilancarkan baru-baru ini dan akan menjelajah 11 lokasi di negeri ini.

Presiden Manis, ANWAR MUTTAQIN dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN dan jurugambar, IZZUL AHMAD menegaskan, adalah penting untuk golongan itu turut sama berperanan dan memberi sumbangan kepada
masyarakat.

Beliau berharap program itu mampu mewujudkan momentum dalam program khidmat masyarakat yang digerakkan sendiri oleh tenaga sukarela mahasiswa kelahiran negeri ini.


UTUSAN MALAYSIA: Bagaimanakah timbul idea untuk menganjurkan program ini?

ANWAR MUTTAQIN: Dalam program keluarga ang­kat atau bakti siswa yang kami buat selama ini, nampak ada kelompangan. Ada keluarga angkat yang susah, hidup daif tetapi mereka terlepas daripada menerima bantuan.

Di sini kami terfikir kenapa tidak mahasiswa Negeri Sembilan sahaja menjadi ejen baitulmal dan memudahkan kerajaan negeri. Sehubungan itu kami mengambil inisiatif turun kepada masyarakat dengan menjalankan siasatan dan bawa suara serta maklumat mereka kepada pihak bertanggungjawab.

Cadangan itu kemudian dibincangkan dengan Setiausaha Majlis Agama Islam Nege­ri Sembilan (MAINS), Datuk Kamal Amran Kamarudin seterusnya membawa perkara ini kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi MAINS.

Apakah pengisian program itu?

Manis pernah me­ngadakan Program Baktisiswa Mega pada September dan Oktober 2017 di tujuh lokasi di negeri ini melibatkan persatuan dari tujuh institusi pengajian tinggi (IPT). Kami telah kumpul 157 borang soal selidik keluarga susah. Mahasiswa Negeri Sembilan me­rupakan yang pertama berpe­ranan sebagai ejen kepada baitulmal di negara ini.

Sebab itu, bagi tahun 2018, kam mahu wujudkan ‘gelombang’ dengan program berjalan selama tiga hari dua malam. Selain program keluarga angkat, turut diadakan forum, ceramah dan taklimat kepada penduduk di lokasi berkenaan.

Kali ini Manis masukkan pe­ngisian khidmat ihsan dengan menawarkan penukaran minyak pelincir motosikal kepada penduduk, menjahit pakaian dan khidmat pendawaian elektrik di rumah asnaf dan keluarga miskin yang dilakukan pelajar Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS).

Ada 11 lokasi pilihan dengan setiap lokasi kami turun seba­nyak empat kali. Sekarang kami pada fasa pertama bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol dan Paroi.

Bagaimana pula dengan pe­ng­libatan mahasiswa?

Manis mempunyai kira-kira 3,000 ahli iaitu mahasiswa kelahiran Negeri Sembilan dari 26 persatuan di IPT tempatan dan saya percaya kira-kira 760 orang atau mungkin boleh mencecah 1,000 orang akan terlibat dengan program ini.

Bagaimana maklum balas di dua lokasi setakat ini?

Maklum balas diterima amat positif. Di DUN Johol, penerima asnaf seramai empat orang tetapi ketua kampung nampak ada lapan orang sebenarnya yang susah. Kalau ketua kampung nak uruskan, banyak proses dan birokrasi. Jadi, kami sendiri turun dan bawa perkara tersebut ke agensi berkaitan.

Apakah manfaat yang diperoleh mahasiswa melalui program ini?

Mahasiswa akan memperoleh ilmu dan pengalaman. Ilmu sebegini tak diajar di bilik kuliah atau dalam sukatan pelajaran. Bila masuk kampung mereka dapat pengalaman baharu dan lebih dekat dengan sosiobudaya setempat.

Harapan terhadap penganju­ran program ini?

Kami mahu memasyarakatkan mahasiswa dan tidak mahu mereka berada di dalam ruang selesa di universiti. Turun dekati masyarakat, sebab satu hari mereka akan berkhidmat dengan masyarakat. Tidak perlu tunggu selepas graduasi baru nak kenal orang, adalah lebih baik mulakan dari awal. Apabila mereka jadi pemimpin, pegawai kerajaan dan kawasan nanti, mereka sudah tahu keluh kesah, kegusaran dan karenah masyarakat.

Perancangan dan harapan pa­da masa akan datang?

Sejak ditubuhkan pada tahun 2013, kami mendapat sokongan dan kepercayaan kerajaan ne-geri serta pelbagai agensi. Antara program yang telah diadakan termasuk Ziarah Sahur dengan kerjasama Utusan Malaysia sejak tiga tahun lalu. Bukan sahaja anak-anak yatim, tetapi juga pelajar dan agensi penguat kuasa kami santuni.

Salah satu harapan saya pada 2018 adalah untuk menganjurkan Karnival Sukan Mahasiswa Negeri Sembian (Suknes). Kami faham orang muda gemar libatkan diri dengan akiviti sukarela tetapi mereka juga perlu diraikan. Saya memilih meraikan mereka de­ngan sukan bukannya hiburan.