Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, majikan atau pihak pengurusan juga wajar menyediakan tempat solat dan memberikan mereka peluang menunaikan ibadah itu tanpa sebarang tekanan termasuk dipotong gaji.

“Perbuatan menghalang pekerja yang beragama Islam bersolat sudah keterlaluan dan tentunya me­nimbulkan kemarahan umat Islam yang lain. Majikan perlu prihatin dan memberi kelonggaran dalam hal ini.

“Tindakan menghalang pekerja melaksanakan kewajipan agama­nya tidak akan berlaku jika pihak berkenaan menghormati agama lain. Kita perlu sedar Islam agama Persekutuan yang perlu dihormati semua pihak,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan sebuah pasar raya di sini yang didakwa menghalang pekerjanya menunaikan solat.

Ekoran tindakan itu, beberapa ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Muar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sebelum mengadakan demonstrasi di hadapan pasar raya tersebut semalam.

Dzulkafli berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pejabat buruh untuk memberi nasihat kepada pengurusan pasar raya berkenaan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Menurutnya, apabila diberikan peluang itu, para pekerja perlu bijak menggunakan masa yang diberikan untuk melakukan ibadah, bukannya membuat perkara lain.

Beliau mengakui pihaknya sebelum ini ada menerima aduan daripada pekerja yang berdepan kesukaran untuk menunaikan kewajipan agama kerana ketiadaan ruang solat di tempat kerja.

“Atas tanggungjawab itu, kami membuka tiga tempat solat awam iaitu di Restoran Amir Sup di Jalan Sisi dan Jalan Sulaiman dan Uptown Muar sejak dua bulan lalu,” katanya.