Abdul Ghapur Salleh

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, dia sangat berharap JKDM negeri dapat membenarkan penduduk di Pulau Sebatik untuk menggunakan jeti nelayan milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tersebut.

Katanya, kelulusan menggunakan jeti nelayan tersebut dilihat akan memudahkan orang ramai terutama penduduk dari Pulau Sebatik membawa barang dan hasil pertanian dari pulau tersebut ke daratan bagi tujuan urusniaga.

“Saya mendapat laporan bahawa ramai penduduk mengadu yang mereka tidak dibenarkan oleh pegawai JKDM negeri untuk menggunakan jeti LKIM tersebut, sebaliknya diminta menggunakan sebuah jeti persendirian yang terletak di kawasan tersebut.

“Saya tidak faham kenapa penduduk tidak boleh menggunakan jeti LKIM yang serba lengkap ini sedangkan pihak LKIM tidak mempunyai halangan untuk jeti tersebut digunakan.

“Jika tidak boleh digunakan atas faktor keselamatan, saya berharap pihak keselamatan negara dapat ditugaskan di kawasan jeti tersebut,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke jeti tersebut bagi melihat sendiri keadaan dan permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai terutama dari Pulau Sebatik.

Yang hadir sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho.

Mengulas lanjut, Abdul Ghapur berkata, pelbagai kelebihan yang bakal diperoleh orang ramai sekiranya jeti milik LKIM itu dibuka kepada orang ramai.

Katanya, selain dapat memberi keselesaan dan kemudahan yang lebih baik menerusi kemudahan yang disediakan oleh LKIM, orang ramai juga tidak dikenakan caj atau sebarang bayaran untuk kemudahan itu.

Jelasnya, caj akan dikenakan ke atas orang ramai yang menggunakan jeti persendirian, malah kadar bayaran yang dikenakan agak tinggi dan kadang-kala melebihi nilai barangan yang ingin dipasarkan dari Pulau Sebatik.

Ekoran permasalahan yang berlaku tersebut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan akan bertindak membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi demi kepentingan orang ramai.

“Saya akan menulis surat kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan tentang perkara ini dan mahu penduduk Pulau Sebatik agar menggunakan jeti LKIM untuk memunggah barang serta hasil pertanian mereka,” katanya.