Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Azman Adam berkata, ketika ini bekalan memenuhi permintaan.

"Hasil pemantauan kami, sejak premis dibuka dari awal pagi tidak nampak berlakunya pembelian panik (minyak masak) di sini (di Sekinchan).

"Jadi kita mengharapkan pengguna di negeri Selangor membuat pembelian seperti biasa kerana bekalan minyak masak dari pemborong dan pembekal adalah mencukupi dan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan Operasi Bersepadu di Pasar Awam Sekinchan di sini hari ini.

Operasi itu turut disertai pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Metrologi Corporation Malaysia (MCM).

Tambah Azman, terdapat 63 syarikat pembungkusan minyak masak di negeri ini dengan kuota bekalan sebanyak 14,245 tan metrik.

Katanya, sehingga kini pengilang di negeri ini telah memproses sebanyak 51 peratus daripada bekalan diperolehi untuk diedarkan ke seluruh negeri Selangor.

"Bagi memastikan bekalan ini mencukupi, pegawai KPDNKK akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan selain memastikan tidak ada pihak yang melakukan kesalahan seperti menyorok bekalan minyak," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azman memberitahu KPDNKK Selangor telah menjalankan pemeriksaan di 2,957 premis bermula 1 Januari lalu.

Hasilnya pemeriksaan itu, sebanyak 58 kes direkodkan terutamanya kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sikat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan nilai rampasan RM9,449, manakala kompaun berjumlah RM14,900.-UTUSAN