Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pelbagai juadah dijual kepada pengunjung yang mula memenuhi sekitar sejak awal pukul 10 pagi itu. Selain kuih-kuih, turut dijual hidangan makan tengahari seperti nasi campur dan makanan segera.

Seorang pengunjung, Hamizah Zakaria, 24 berkata, kunjungan kali pertama ke tempat itu sangat berbaloi kerana boleh menikmati makanan yang sedap dan murah.

“Ini kali pertama saya datang ke sini dan berpendapat ia perlu diteruskan. Tapak yang berdekatan dengan masjid itu memudahkan orang ramai untuk bersolat terutamanya bagi kaum lelaki ketika hari Jumaat.

“Lagipun, makanan di sini lebih murah berbanding tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang peniaga, Muhammad Fauzi Kamaruddin, 22 berkata, peluang yang disediakan itu merupakan platform bagi usahawan muda memperkenalkan produk masing-masing.

“Sambutan di sini sangat menggalakkan. Bagaimanapun, tapak ini hanya dibuka satu hari iaitu pada hari Jumaat.

“Saya sangat berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat menyediakan tempat letak kenderaan terutamanya motosikal agar tidak menganggu peniaga,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE