Naufal Ar-Rizqullah Rozaimie menghidap giant cell hepatitis sehingga menyebabkan bacaan pe­nyakit kuning yang tinggi, terpak­sa mengambil ubat-ubatan bernilai RM1,000 seminggu selain terpaksa berulang-alik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur sejak November tahun lalu.

Bagaimanapun, disebabkan ubat yang diambil itu mengakibatkan antibodi berkurangan dan mengganggu sistem buah pinggangnya, doktor menyarankan pemindahan hati sebagai jalan terakhir menyelamatkan nyawa bayi tersebut dengan menjadikan bapanya sebagai penderma.

Bapa bayi berkenaan, Rozaimie Jamaludin, 31, yang merupakan kakitangan kerajaan berkata, dia dan isteri, Nur Aini Zainudin, 31, pernah memohon bantuan daripada pelbagai pihak bagi meri­ngankan beban mereka, namun hanya berjaya mengumpul kira-kira RM3,000.

Katanya, jumlah itu masih belum mencukupi kerana kos perjalanan dan penjagaan selepas pembedahan terlalu tinggi.

Tambahnya, pembedahan ha­rus dilakukan dengan segera ke­rana fungsi hati anak bongsu daripada lima beradik itu sema­kin kritikal dan berdepan pelbagai risiko termasuk melibatkan nyawa.

“Doktor ada beritahu penyakit yang dihidapi anak kami ini jarang berlaku di negara kita. Sebab itu mereka sukar hendak kendalikan kes ini, tambahan pula de­ngan kemudahan yang tidak cukup untuk pembedahan.

“Sudah banyak wang kami laburkan cuma kali ini memerlukan kos terlalu tinggi sebab itu kami sangat berharap bantuan mana-mana pihak yang sudi meringankan beban kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Perumahan Kastam Bukit Gelugor di sini semalam.

Naufal Ar-Rizqullah juga mudah mengalami pendarahan dan badannya pernah lebam dipercayai disebabkan saluran darah­nya pecah akibat penyakit itu.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun CIMB (7027099239) dan Bank Islam (14153023177208) atas nama pasangan itu atau menghubungi mereka di talian 019-4226514 dan 019-5129402.