Pengumuman mewujudkan pasar transit bernilai kira-kira RM8 juta itu melegakan peniaga yang sebelum ini terpaksa beroperasi di luar ba­ngunan dan tempat letak kereta pasar lama yang terpaksa dirobohkan berikutan struktur yang tidak selamat.

Langkah memindahkan peniaga dan merobohkan bangunan pasar lama, disusuli pengumuman projek terminal bersepadu dengan rangkaian lengkap menghubungkan sistem pengangkutan awam di seluruh negeri ini di tapak lama Pasar Besar Melaka Sentral menjelang 2026.

Kerajaan negeri mempunyai perancangan yang jauh ke hadapan untuk keselesaan rakyat yang juga akan mene­rima tempias pembangunan berikutan pelaksanaan stesen Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura yang akan siap menjelang tahun 2026.

“Kita perlu bersedia dari sekarang. Semua perancangan ini bukan untuk masa singkat atau tempoh 10 tahun akan datang sebaliknya demi kemudahan penduduk Melaka sewaktu kita melangkah ke era Transformasi Nasional tahun 2050 (TN50) nanti,” kata Idris memberitahu peranca­ngannya tentang tapak lama Pasar Besar Melaka Sentral baru-baru ini.

Adakah Melaka akan mempunyai sebuah terminal bersepadu tujuh tingkat yang lengkap dengan kemudahan bas ekspres keluar masuk mengambil dan menurunkan penumpang seperti di Taiwan yang mencetuskan idea kepada kerajaan negeri berbuat demikian?

Mungkin pada waktu ini seperti kata Idris, masyarakat tidak akan nampak segala perancangan dan kebaikan pembangunan itu tetapi pada tahun 2050 nanti, sudah pasti Melaka juga seperti negeri-negeri lain akan mengalami perubahan yang besar apabila ledakan ekonomi membuatkan sistem pengangkutan negara turut berubah.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa itu, mungkin Melaka juga ketika itu akan memiliki kemudahan monorel, tren bawah tanah atau kereta api laju sebagai alat penghubung darat, jadi tidak salah jika kita rancang semua ini demi kemudahan rakyat,” katanya yang juga membayangkan terminal bersepadu akan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Ini membuktikan kerajaan negeri mempunyai wawasan untuk tempoh jangka panjang kerana selain menyediakan terminal bas dan pasar dalam satu ruang, ia juga menghubungkan lingkaran perhubungan jalan darat dengan stesen HSR Melaka, laluan udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam dan laluan laut ke Pelabuhan Melaka Gateway.

Jika ada pihak yang meng­anggap ini semua mimpi di siang hari, pejamkan mata anda dan bayangkan apa yang telah berlaku pada Melaka ketika ini berbanding suatu ketika dahulu.

Daripada sebuah lokasi sejarah negara yang bermula era penaklukan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, Melaka kini telah berkembang menjadi sebuah negeri pelancongan yang mampu menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia untuk datang dan melawat bukan sahaja tinggalan sejarah malah kini kemajuan pesat yang dicapai dan dicipta di negeri ini.

Jika dahulu Melaka boleh berubah menjadi sebuah negeri bersejarah kepada negeri pelancongan, tidak mustahil negeri ini akan berubah pesat dengan segala perancangan yang kini disediakan untuk ke arah kemajuan itu.