Antara lokasi laluan per­khid­matan bas percuma yang akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang itu adalah Melaka Sentral, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hospital Melaka dan Pasar Awam Bachang.

Ini merupakan langkah diambil kerajaan bertujuan memberikan kemudahan dan ke­selesaan kepada rakyat selaras dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di negeri ini.

Langkah ini seharusnya di­­sambut baik kerana keuta­maan diberikan kepada warga tempatan manakala bagi warga asing pula, kerajaan negeri akan menyediakan meka­nisme khusus termasuk me­ngenakan kadar tambang bas khusus kepada mereka.

Kita semua sedia maklum, rata-rata penduduk di negara ini boleh dikatakan memiliki kemampuan kenderaan sendiri dan kebiasaannya penggunaan pengangkutan awam selama ini bukan sahaja di Melaka malah di negeri-negeri lain dikuasai oleh warga asing.

Untuk itu, suatu meka­nisme yang dirancang oleh kerajaan negeri perlu dilaksanakan segera agar kemudahan ini tidak dimonopoli oleh warga asing yang biasanya akan menggunakan khidmat bas untuk keluar dari asrama penginapan mereka pada hujung minggu ke pusat-pusat bandar untuk membeli- belah.

Walaupun Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab memberi jaminan kemudahan percuma ini dikhususkan kepada rakyat tempatan, bagaimana langkah proaktif kerajaan negeri dapat menangani kebanjiran warga asing yang sudah pasti tidak melepaskan peluang me­nggunakan kemudahan itu mulai 20 Ogos ini.

“Tidak timbul warga asing akan menikmati perkhidmatan bas ini secara percuma kerana objektif kerajaan negeri adalah untuk menawarkan perkhidmatan percuma serta penuh keselesaan kepada rakyat tempatan,” katanya dalam satu sidang akhbar mengumumkan pengoperasian khidmat bas percuma itu baru-baru ini.

Selain memastikan khidmat bas percuma ini hanya untuk rakyat tempatan, satu lagi cabaran yang bakal dihadapi kerajaan negeri adalah memastikan jumlah perkhidmatan bas dan kekerapan laluan dapat memberi manfaat kepada pengguna.

Ini kerana sebagai permu­laan, hanya tiga buah bas bercirikan identiti Melaka me­nggunakan sumber gas asli (NGV) akan digunakan sepanjang laluan dengan kekerapan setiap 40 minit.

Bayangkan nisbah kekerapan dan jumlah bas itu dengan pengguna bas berkenaan yang mahu menggunakan khidmat bas tersebut apabila ia bero­perasi kelak terpaksa bersesak dan menunggu untuk tempoh yang lama bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut, harap ia tidak membuatkan pengguna terlewat tiba di destinasi.

Apa pun, sokongan harus diberikan kepada kerajaan nege­ri kerana sekurang-kurangnya langkah telah diambil untuk memberikan perkhidmatan per­­cuma kepada warga tempatan namun harapan rakyat agar pelaksanaannya dilakukan de­ngan teliti supaya khidmat itu tidak hanya ‘sekerat jalan’ atau ‘hangat-hangat tahi ayam’.