Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD HASIF IDRIS dan jurugambar SHIDDIEQIIN ZON menyelami hasrat beliau dalam merealisasikan Bachok sebagai kawasan tumpuan pelancongan.

Dr. Awang Adek Hussin
Dr. Awang Adek Hussin

UTUSAN: Parlimen Bachok mempunyai banyak pantai dan sepatutnya menjadi destinasi menarik dalam kalendar pelancongan negeri. Namun, kerajaan negeri pada hari ini dilihat gagal mempromosikan kawasan tersebut. Apa pandangan datuk?

AWANG ADEK: Terlalu banyak potensi di Bachok yang boleh dibangunkan dan dikomersialkan kerana ada tiga pantai utama di sini seperti Pantai Melawi, Pantai Irama dan Pantai Senok. Malah, dengan keindahan semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan, ia berupaya menjadi tarikan pelancong sebenarnya.

Kalau dilihat hari ini Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu membangunkan sektor pelancongan dan tiada usaha untuk memajukan produk pelancongan yang terdapat di sini. Sedangkan, kawasan Parlimen dan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini dikuasai oleh Pas.

Jadi, kalau Barisan Nasional (BN) menang, kita berhasrat menjadikan pelancongan sebagai aktiviti utama ekonomi penduduk setempat selain daripada sektor pertanian dan perikanan yang menjadi nadi kawasan Bachok.

Apa strategi untuk merealisasikan hasrat itu?

Saya lihat tiga projek pembangunan merupakan pema­ng­kin kepada sektor pelancongan seper­ti pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hospital dan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Ini kerana, penduduk setempat akan turut terkena tempias kesan daripada pelaksanaan projek ECRL apabila Bachok akan menerima sebuah stesen iaitu di Jelawat.

Selain itu, kita juga bercadang menambah bilangan pelajar UMK seramai 5,000 orang lagi. Namun, buat masa sekarang ada masalah kekangan asrama. Jadi, apabila prasarana berkenaan dapat dibina, sudah tentu dapat menampung pertambahan itu.

Hospital Bachok yang sedang dibina juga sudah melebihi 25 peratus gerak kerja dan dijangka siap pada 2019. Hal ini, sudah tentu memberi kemudahan kepada penduduk setempat terutamanya yang tinggal berjauhan dari Kota Bharu. Malah, ia berpotensi dimajukan lagi kerana mempunyai tanah yang luas seperti boleh dibina wad tambahan serta klinik di masa akan datang.

Justeru, ketiga-tiga projek berkenaan berupaya menarik kemasukan dan kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa apabila limpahan nikmat itu dirasai semua pihak.

Dalam pada itu, apabila sektor pelancongan sudah berkembang dalam masa sama juga, kita boleh mempromosikan kebudayaan dan kesenian yang terdapat di negeri ini. Sudah tentu pelancong yang datang dapat menonton persembahan sambil beristirehat di tepi pantai. Idea ini pasti menarik jika dapat diterjemahkan nanti.

Apa masalah utama penduduk di sini?

Masalah utama penduduk di sini yang mencari rezeki sebagai nelayan adalah hasil pendapatan mereka yang bermusim disebabkan musim tengkujuh berlaku pada November hingga Februari. Jadi, mereka susah keluar ke laut disebabkan ombak besar.

Bagi golongan petani, mereka menghadapi masalah tanaman yang rosak kerana hujan lebat. Malah, sistem perparitan juga tidak diselenggara dengan baik. Kerajaan negeri sudah tentu tidak mampu membaiki parit-parit berkenaan dan sebab itu, kalau BN memerintah kawasan ini kita boleh selesaikan masalah infrastruktur itu.

Selain itu juga, kuala-kuala sungai perlu diperbaiki dengan membesarkan serta mencantikkan lagi kawasan itu supaya meningkatkan hasil pendapatan golongan nelayan.

Boleh Datuk komen tentang wakil rakyat Bachok ketika ini?

Wakil rakyat sekarang memang orang tempatan. Namun, keluhan demi keluhan yang dite­rima menyatakan bahawa beliau tidak memberikan perkhidmatan yang terbaik dan tidak memuaskan hati rakyat.

Penduduk tempatan juga ada yang merungut dan tidak berpuas hati kerana susah hendak berjumpa dengan wakil rakyat mereka sendiri. Jadi, penduduk di sini perlukan sentuhan dan bantuan daripada wakil rakyat yang dipi­lih oleh mereka.

Bagaimana peluang BN dalam PRU-14 dan apakah strategi yang telah dirangka?

Sudah tentu kita perlu bekerja kuat dan memperkemaskan jentera. Semua ahli BN perlu berwaspada dan jangan sekali-kali mengharapkan perpecahan parti lawan sebagai jalan mudah untuk menang.

Sekalipun persaingan tiga penjuru berlaku, kerja berpasukan perlu digembleng sehingga ke saat akhir. Oleh itu, kita telah lancarkan konsep 3S iaitu Setia, Sepasukan dan Sepakat yang sudah diamalkan sejak lima tahun lalu.Saya yakin, konsep ini merupakan strategi tepat dan semua jentera akar umbi BN dilihat boleh menerimanya. Justeru, kita harap ia membuah kejayaan.