ISMAIL MOHAMED SAID.

Barisan kepemimpinan setempat sentiasa berusaha memastikan kawasan tersebut mendapat perhatian dan pembelaan yang memberikan manfaat kepada penduduk termasuk melibatkan 14 tanah rancangan Felda.

Kepada Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, DATUK SERI ISMAIL MOHAMED SAID berkongsi pandangan dan hasrat dalam memastikan kawasan itu menjadi kubu BN serta mendapat pembelaan berterusan.
 

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat peluang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kawasan ini? 

ISMAIL MOHA­­MED SAID: Kali ini kita bakal berdepan pertembungan seku­rang-kurangnya tiga penjuru antara BN, Pas dan gabungan pembangkang PKR. Sepertimana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kita tetap bersedia dan semua jentera dalam keadaan bersedia. Kita sebenarnya sudah lama bergerak bagi mengekalkan kemenangan ketiga-tiga kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) dan Parlimen. Tekad kita bukan sahaja menang tetapi hendak meningkatkan majoriti di keempat-empat kerusi ini.

 

Dalam mengatur strategi memenangi hati rakyat, pembangkang dilihat memilih calon daripada golongan muda, anak-anak peneroka dan golongan pendidik. Apa pandangan Datuk Seri?

Kita tahu bahawa PPBM menonjolkan beberapa calon muda dan kita tahu pembangkang fokus kepada usaha menawan 56 kawasan Felda. Kalau mereka ada calon anak peneroka Felda, kita pun sudah mengetengahkannya seperti di DUN Jengka yang disandang Datuk Wan Salman Wan Ismail.

Parlimen Kuala Krau mempunyai 14 tanah rancangan Felda dan sudah tentu pembangkang akan berusaha menarik sokongan masyarakat peneroka dengan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Bagaimana untuk berdepan keadaan ini?

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda, kita melihat perubahan-perubahan dan paling penting idea beliau untuk kembalikan Felda kepada kedudukan asal semasa penubuhannya. Felda berada di landasan betul. Saya percaya masyarakat Felda menerima baik usaha ini.

Bagi golongan muda sama ada di Felda atau kampung-kampung tradisional, isu perumahan antara masalah utama mereka, apakah jalan penyelesaiannya?

Bagi generasi baharu Felda, kita ada 666 unit lot kosong di tanah rancangan yang akan dibangunkan Syarikat Prasarana Nasional Berhad (SPNB). Melalui program Perumahan 1Felda pula, sebanyak 719 unit rumah akan dibina bermakna masyarakat Felda menerima limpahan lebih kurang 1,300 unit perumahan generasi baharu. Di kampung tradisonal pula, Perdana Menteri meluluskan perumahan rakyat sebanyak 500 unit. Selain itu, kita akan melaksanakan program Perumahan Rakyat 1Malaysia sebanyak 200 unit kepada generasi baharu di pekan Kuala Krau.

Perhatian sentiasa diberikan pimpinan BN di daerah ini yang mana Perdana Menteri sendiri turun ke sini baru-baru ini, apakah antara perkara yang diberi perhatian dalam kunjungan itu kepada penduduk setempat?Beberapa perkara diumumkan Perdana Menteri ketika turun padang di DUN Jengka iaitu projek sambungan melebarkan jalan dari tol Chenor ke Bandar Pusat Jengka yang sedang dilaksanakan yang mendapat sambungan sehingga ke Simpang Jengka 8, daripada Simpang Jengka 12 ke jambatan Kuala Krau, daripada Simpang Jengka 21 ke simpang Jengka 18. Di samping itu, sebanyak RM10 juta diberikan bagi menaik taraf Hospital Jengka dan loji air utama Jengka bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.