RASHIDI IBRAHIM

Jadi bukan tugas mudah buat ADUN kawasan itu, DATUK RASHIDI IBRAHIM untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Bersama wartawan Utusan Malaysia, ROKIAH ABDULLAH, Rashidi yang merupakan bekas guru berkongsi cabaran dan harapannya sepanjang sepenggal sebagai wakil rakyat juga tentang PRU-14.


UTUSAN: Selain pembangunan fizikal, apakah fokus yang diberikan terhadap penduduk di kawasan Pasir Panjang?

RASHIDI: Selain pembangunan, saya memberi penekanan dalam aspek patriotisme supaya semua rakyat mencintai negara dan kawasan masing-masing dan merasakan usaha pembangunan yang dibuat sebagai kepunyaan bersama.

Sejauh mana pembangunan yang dibawa berjaya men-transformasikan Manjung dan Lumut?

Pelaburan mega yang dibawa ke sini menawarkan berpuluh-puluh ribu peluang pekerjaan, bermakna penduduk di sini tidak perlu lagi pergi ke bandar-bandar besar untuk mencari kerja, semua jenis pekerjaan sudah wujud di sini.

Apakah faedah yang diperolehi golongan muda dan golongan berpendapatan rendah?

Banyak yang telah kami lakukan antaranya pembinaan 50 unit rumah di Batu 10, Lekir di bawah skim MyBeautiful New Home sedang dalam peringkat saringan dan temu duga bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 pe­ratus terendah atau B40.

Dari segi aktiviti sukan, sebuah stadium juga sedang dalam pembinaan di Majlis Perbandaran Manjung yang boleh menempatkan kira-kira 12,000 penonton.

Apa cabaran utama sebagai wakil rakyat?

Saya kena bekerja lebih kuat kerana ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry sibuk menjaga negeri bagi memenuhi tanggungjawab sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Kerja BN bela dan jaga nasib rakyat tidak kira masa.

Adakala­nya yang datang kepada saya bukan dari kawasan Pasir Panjang atau Pangkor tetapi dari DUN Sitiawan dan masyarakat luar yang perlukan pembelaan dan tidak mendapat perkhidmatan baik daripada kedua-dua wakil rakyat di kawasan tersebut.

Tengoklah sendiri usaha Menteri Besar sebagai ADUN Pangkor dan saya membantunya, Manjung dan Lumut berkembang pesat.

Apa harapan pada PRU-14?

Saya meneruskan kerja, perjuangan kepemimpinan terdahulu dan teruskan gerak kerja BN untuk bantu rakyat sepanjang masa. Saya juga diarahkan oleh Menteri Besar untuk buat kerja, buat kerja dan buat kerja, jangan berhenti.

Pembangkang pula turun ha­nya mencari jalan, adu domba, cari kelemahan dan kekurangan, sedangkan sebenarnya mereka tidak buat apa-apa untuk kesejahteraan rak­yat. Rakyat berhak menilai, menganalisa dan diberikan hak sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja.