Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana pegawai dan anggota yang berkhidmat di sesebuah PBT sejak mula bekerja hingga tamat perkhidmatan dikhuatiri mendedahkan mereka dengan unsur rasuah.

“Dalam hal PBT ini, kita ada berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ada kakita­ngan yang terlalu lama ‘duduk’ di sesebuah PBT, tidak ada pertukaran tempat kerja sejak mula bekerja sampailah tamat, kekal di tempat itu.

“Jadi, saya mencadangkan supaya berlakunya perubahan terhadap polisi ini, kakitangan ini boleh berpindah antara PBT lain di negeri ini. Dengan itu, kemungkinan kegiatan rasuah dapat dikurangkan,” katanya selepas menerima kunjungan SPRM Johor diketuai Pengarahnya, Datuk Azmi Alias di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Suhaizan berkata, pihaknya menjunjung tinggi terhadap integriti dan usaha dilakukan SPRM bagi membanteras rasuah, sekali gus akan sentiasa bekerjasama dengan agensi tersebut dalam perkara berkenaan.

Pihaknya juga bercadang untuk memberi taklimat berkaitan rasuah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dija­dualkan pada bulan depan.

Dari segi penambahbaikan prosedur kerja di peringkat jabatan di negeri ini, beliau berharap supaya SPRM boleh membantu menjadi penasihat bagi jabatan untuk mengekang jenayah rasuah.

“Kita (kerajaan negeri) ada banyak jabatan, mungkin prosedur tidak berapa jelas di pe­ringkat jabatan. Apabila jabatan ini membuat prosedur untuk membanteras rasuah, pihak SPRM boleh membantu untuk menambah baik prosedur sedia ada,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, rakyat amat mengambil berat berkaitan isu integriti dan perkembangan itu sudah tentunya memberi kebaikan sekali gus memudahkan urusan SPRM.