Sukarelawan belia bergilir-gilir membuang sisa kayu berhampiran jambatan sementara Pulau Setelu, Gua Musang, Kelantan yang hampir tenggelam sejak kelmarin.

Wakil sukarelawan belia, Muhamad Syazwan Aniss Zulkefli, 20, berkata, mereka bersepakat untuk bergotong-royong membuang sisa kayu yang dihanyut arus serta tersekat pada jambatan akibat hujan lebat.

Katanya, hujan lebat di kawasan hulu sungai itu sejak dua hari lalu menyebabkan arus su­ngai deras serta hampir melimpahi lantai jambatan.

“Kami bekerjasama untuk menjaga jambatan utama yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli ini kerana kami mahu memastikan jambatan dalam keadaan baik sepanjang masa.

“Jambatan sementara itu menjadi laluan penting bagi semua pengguna dan kerap tenggelam apabila air sungai naik mendadak dan kemungkinan akan runtuh jika sisa kayu terus melekat.

“Kami bertindak membuang sisa kayu yang tersekat di jambatan itu bermula pukul 7 pagi semalam selepas melihat air su­ngai naik dengan cepat. Namun, kami bernasib baik apabila arus sungai deras tidak melepasi jambatan dan surut semula pukul 6 petang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Zulkifli Ahmad Kamizi, 22, pula berkata, dia bersama belia lain mengambil iktibar daripada kejadian sama bulan lalu yang menyaksikan jambatan tersebut tenggelam.

“Ketika hujan lebat kami berasa risau sekiranya jambatan ini tenggelam. Jambatan tersebut adalah satu-satunya jalan perhubungan kami serta pengguna jalan raya untuk ke bandar Gua Musang dan Jeli.