Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek tersebut merupakan usaha sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan air hujan berlebihan tidak melimpah daripada kolam.

“Turut dicadangkan pembinaan kolam takungan banjir di Sungai Bunus berdekatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) sebagai usaha mengawal banjir kilat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden banjir kilat di beberapa lokasi di ibu kota petang semalam selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Permohonan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Rampai 2 hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad; Pengerusi CRSC Group, Datuk Seri Lawrence Low Wui Keong dan Pengarah Urusan Pancaran Nilai (M) Sdn. Bhd, Lim Yew Jin.

Menurut Tengku Adnan, kejadian tersebut berpunca daripada limpahan air Sungai Bunus, Sungai Gombak dan Sungai Klang ekoran taburan hujan lebat luar biasa. - UTUSAN ONLINE