Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara itu secara tidak langsung memperlihatkan kelemahan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri  atau Ahli Parlimen Pakatan Harapan seperti Gooi Hsiao Leung
dari Parlimen Alor Setar, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).

Malah katanya, banyak pemimpin Pakatan Harapan  yang lain mengambil sikap lepas tangan dan  sebahagiannya langsung menghilangkan diri serta tidak ambil peduli pengundi yang memilih mereka selama ini. 

"Kehilangan mereka ibarat satu lirik lagu popular “hang pi mana, hang pi mana?"

"Amat dikesali mereka hanya sibuk bicara soal mahu bina negara, menjaja ceramah menghasut di sini  sana walhal keperluan mangsa banjir di kawasan mereka terabai," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, bukan sekadar lambat bertindak, kurang peduli malah dalam kebanyakan hal,  jentera UMNO yang akhirnya mendepani dan mengambil peranan yang diabaikan wakil rakyat Pakatan Harapan yang berterusan dibuai angan mahu menguasai Kedah.

"Ini berbeza dengan tindakan proaktif Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Bashah selaku Menteri Besar bukan sahaja sahaja memastikan jawatankuasa bencana negeri dikoordinasi dengan cekap malah beliau mengambil pendekatan meninjau sendiri kesemua pusat pemindahan banjir yang diwujudkan di daerah terlibat, " katanya.