Menurut mereka, akibat terbengkalai, struktur bangunan separuh kayu dan bata empat blok di bangunan yang dibina pada 1966 itu membahayakan keselamatan pelajar.

Mereka mendakwa, bagi mengelak kejadian tidak diingini, pintu blok bangunan yang terbengkalai itu hanya ditutup dengan papan bagi mengelak dimasuki pelajar.

Jelas mereka, kerana lama terbengkalai, empat blok tersebut mengalami kerosakan din­ding, siling, pintu, tingkap, longkang konkrit dan lantai yang sudah pecah.

Seorang bekas pelajar, Arifin Abdullah, 53, berkata, dia sedih melihat keadaan sekolah tersebut kerana bangunan yang sepatutnya dibaik pulih untuk keselesaan pelajar tidak dapat disiapkan.

Katanya, ini mengundang bahaya kepada pelajar kerana bangunan yang terbengkalai itu semakin mengalami kerosakan yang teruk.

“Keadaan blok bangunan yang terbengkalai ini mengundang bahaya, kemungkinan si­ling yang rosak akan jatuh, dinding mungkin patah dan bahaya-bahaya lain.

“Saya rasa tidak sepatutnya pada zaman ini sekolah yang terletak di kawasan yang membangun tidak diselenggarakan dengan baik,” katanya.

Arifin merupakan antara bekas pelajar yang menghadiri majlis Ukhwah Silaturahim bekas pelajar SMK Khir Johari di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai bekas pelajar sudah tentu dia sedih melihat keadaan bekas sekolahnya yang tidak selesa untuk pelajar mengikuti pembelajaran seharian.

Katanya, tempat belajar yang selesa merupakan antara faktor yang penting dalam membantu pembelajaran murid.

“Sekolah ini hanya cantik dilihat dari luar tetapi tidak pada bahagian dalamnya dan saya berharap baik pulih blok bangunan yang terbengkalai ini dapat disiap­kan dengan segera,” katanya.