Menteri Besar, Datuk Osman Sapian akan bangkitkan perkara berkaitan Johor termasuk isu berkenaan pada mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sehingga kini perkara itu hanya diketahui menerusi media.


“Dalam satu dua hari ini kita akan adakah mesyuarat serta adakan taklimat berkaitan isu itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.


“Pada lusa, saya akan bermesyuarat di Kuala Lumpur bersama-sama Perdana Menteri dan saya akan bincang serta bangkitkan perkara berkaitan Johor. Saya akan minta sikit penerangan kerana saya tidak dapat segala laporan cuma saya tahu melalui surat khabar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Iskandar Malaysia di Gelang Patah di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dengan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.


Sementara itu, Osman berkata, beliau juga akan membangkitkan perkara tersebut pada Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura (JMC) yang akan turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada minggu depan.


“Saya rasa kalau pun tidak dimasukkan dalam agenda pertemuan itu tapi kita juga cuba untuk bincangkan, saya juga akan cuba mendapatkan segala maklum balas berkaitan,” katanya. - UTUSAN ONLINE