Bagi menjayakan usaha tersebut, empat syarikat, iaitu Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. (MIM), HINO Motor Sales (Malaysia) Sdn. Bhd., dan Handal Indah Sdn. Bhd. (Handal Indah) menandatangani memorandum persefahamam (MoU), hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Setiausaha Pertama dan wakil kepada duta Jepun ke Malaysia, Keisuke Tanaka.

MoU antara keempat-empat syarikat itu bagi percubaan penggunaan bas hibrid di Bandar Medini selama lima bulan bermula Julai ini melibatkan enam jajaran jalan di kawasan tersebut.

Ismail yang mengalu-alukan inisiatif itu yakin usaha tersebut sejajar dengan aspirasi pihaknya untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebuah bandar metropolis antarabangsa pintar dan mapan serta lestari.

“MoU itu juga ditandata­ngani tepat pada masanya kera­na bertepatan dengan usaha Iskandar Malaysia menjadikan kawasan itu komuniti rendah karbon selain kita juga mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pe­ngangkutan awam.

“Penggunaan bas hibrid juga memberikan pilihan kepada kita dalam melaksanakan Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Malaysia selain melengkapi pelaksa­naan Sistem Rapid Transit (RTS) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR),” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MIM, Dr. James Tee berkata, sebagai sebuah bandar pintar, penggunaan bas hibrid sebagai pengangkutan awam bertepatan dengan konsep di Bandar Medini.

Katanya, penggunaan bas berteknologi hibrid HINO mampu mengurangkan penggunaan minyak selain pengeluaran asap yang rendah kerana merupakan produk mesra alam.