Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mene­gaskan, kerajaan negeri sentiasa berbelanja mengikut kemam­puan dan sangat serius mengelolakan tadbir urus kewangan negeri.

Pada masa sama, beliau turut menemplak belanjawan negeri Selangor yang dilihat seolah-olah memberi kilang gula-gula untuk menjaga hati kakitangan penjawat awam biarpun terpaksa menanggung defisit yang besar.

“Bajet Alternatif sekadar janji-janji besar yang mereka bercita-cita untuk laksanakan jika mereka memerintah. Bukankah janji-janji ini mengambarkan dengan jelas bahawa pembangkang sebenarnya sering menjadikan Bajet dan sesi Dewan sebagai pentas manifesto dan ruang kempen pilihan raya.

“Di Selangor, defisit perbelanjaan kerajaan negeri setinggi 27.9 peratus daripada saiz bajet. Ini barulah bajet pilihan raya memberikan segala-galanya bukan lagi gula-gula, mereka beri kilang terus,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Tambahnya, kandungan Bajet Alternatif yang dicadangkan pakatan harapan juga tidak menyatakan dengan jelas bagaimana mereka akan mengutip hasil atau menambah hasil baharu serta bagaimana hasil tersebut dibelanjakan secara terancang.

“Kita sepatutnya merancang mengikut kemampuan, barangkali Selangor tidak memikirkan semua ini kerana Menteri Besar Selangor sekarang sibuk meninjau kemajuan yang ada di Johor.

“Ringkasnya, Bajet Johor 2018 adalah bajet adil yang menawarkan keperluan rakyat secara bersesuaian dan bukannya dipenuhi janji pilihan raya. Kalau kita semak sesi bahas kali ini, pembangkang lebih cenderung menjadikan sesi bahas ini medan kempen pilihan raya mereka,” katanya.