Tanpa pengaruh dadah, agak mustahil bagi seseorang itu melakukan jenayah apatah lagi mencederakan mangsa apatah lagi pelaku dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain.

Kita ambil contoh kejadian di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang malam Jumaat lalu apabila seorang pesara tentera, Abdul Rahman Pileh, 60, bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para ditemukan mati akibat ditetak dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam di rumahnya.

Isteri mangsa, Sabturiah Lukidau, 59, pula cedera parah di muka dan tangan dipercayai ditetak dan dikelar menggunakan senjata sama namun kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Me­laka.

Sehingga berita ini ditulis, seorang anggota Kor Polis Tentera Diraja berpangkat sarjan ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Kes ini masih dalam siasatan polis dan suspek belum dihadapkan ke mahkamah jadi tidak wajar kita memutuskan bahawa dia bersalah tetapi berdasarkan kepada kenya­taan polis, dipercayai pelaku jenayah samun itu positif mengambil dadah jenis methamphetamine.

Kerajaan sudah lama berusaha memerangi najis dadah di negara ini kerana bimbang kes-kes seperti ini akan berlaku dan berulang.

Masih ingatkah lagi dengan kes tiga sekeluarga maut akibat dikelar manakala tiga lagi cedera dalam kejadian amuk oleh pelaku dipercayai ahli keluarga di Kampung Bertam-Malim, Melaka pada 25 Ogos 2016.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia dalam rumah iaitu dua lelaki dan seorang wanita ma­sing-masing berusia 70, 62, dan 22 tahun.

Dua lagi mangsa wanita berusia 24 dan 27 tahun parah di bahagian bahu manakala seorang lagi wanita berusia 80 tahun cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.

Menurut polis, suspek iaitu lelaki berusia 26 tahun dipercayai penagih dadah tegar ditahan ketika bersembunyi di tandas sebuah masjid di Bukit Rambai beberapa jam selepas kejadian.

Sekali lagi penjenayah me­ngenali mangsa dan ketika di bawah pengaruh dadah.

Wajar bagi kita semua mengawasi pergerakan mana-mana individu yang terlibat dalam penagihan dadah agar kes seperti ini tidak berulang. Tidak salah jika kita berdampingan dengan pihak berkuasa sama ada polis atau Agensi Antidadah Kebangsaan me­ngenai kegiatan penagihan dalam kalangan ahli keluarga bagi membolehkan pemantauan dapat dibuat.