Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemu bual Pengerusi Pembangunan Persekutuan Luar Bandar Parlimen Kuala Langat merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, DATUK SULAIMAN MOHD. KARLI untuk berkongsi misi dan visi beliau menjadikan daerah itu kembali dikuasai Barisan Nasional (BN) setelah dua penggal Parlimen itu dikuasai pakatan pembangkang.
 

 

UTUSAN MALAYSIA: Apakah yang perlu dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Parlimen dan tiga DUN daripada pihak Pakatan Rakyat yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan?

SULAIMAN MOHD. KARLI : BN mempunyai pengalaman mentadbir negara lebih 60 tahun tetapi disebabkan oleh faktor media sosial yang tidak terkawal kita tewas 4-0 di Parlimen dan tiga DUN pada Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU-13). Sebelum itu kita masih ada DUN Morib yang dipertahankan pada PRU-12.

Kali ini, kita ingin menunjukkan kepada rakyat bahawa sebuah kerajaan bukan hanya pandai menimbulkan persepsi yang buruk terhadap parti lawan tetapi mereka juga perlu ada satu gagasan membantu rakyat.

Apakah kelebihan BN berbanding pemimpin Pakatan Harapan yang menjanjikan manifesto yang dilihat bersifat populis?

Kita ada kelebihan menerusi pelbagai jenama serta program di bawah Kerajaan Persekutuan. Malah, di Kuala Langat semua kaum dan golongan seperti orang Asli dan nelayan dibantu dengan pelbagai insentif termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, subsidi minyak diesel dan sebagainya.

Kita juga mengadakan program jualan barang keperluan dengan harga berpatutan melalui program Sentuhan Rakyat, Jualan Ikan Murah dan baik pulih rumah rosak.

Justeru kita ada kelebihan dan rekod menunaikan janji kepada rakyat.

Apakah isu utama yang membelenggu masyarakat di Kuala Langat?

Umum mengetahui isu kenaikan cukai pintu memang menyebabkan rakyat naik darah.

Kita berasa hairan apakah garis panduan yang diambil oleh pihak Majlis Daerah Kuala La­ngat (MDKL) hingga tergamak menaikkan cukai pintu hingga 400 peratus. Jika kenaikan cukai pintu disebabkan rumah penduduk berhampiran dengan projek perumahan kos tinggi ia adalah tindakan tidak adil kepada rakyat.

Kadar premium tinggi dikenakan mengikut harga pasaran hartanah semasa, sedangkan penduduk sudah tinggal di kawasan tersebut lebih 30 tahun dan tidak akan menjual rumah mereka.

Apakah misi Datuk bagi memastikan BN kembali menawan kembali keempat-empat kerusi dari pemimpin Pakatan Rakyat?

Kerajaan Persekutuan mempunyai perancangan khusus untuk membangunkan Pulau Carey sebagai pelabuhan industri dengan pelaburan dari India sebanyak RM140 bilion.

Bila pelabuhan ini siap ia bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan tempias peluang ekonomi untuk masyarakat di Parlimen Kuala Langat.

Apabila projek ini diumumkan pelbagai spekulasi tercetus, namun percayalah bahawa impak kewujudan prasarana tersebut mampu menjana sumber ekonomi baharu negeri ini.

Harapan Datuk ter-hadap masyarakat di Kuala Langat.

Sebagaimana yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang aman dan harmoni di Parlimen Kuala Langat itulah harapan saya.

Masyarakat di sini dapat menikmati kek ekonomi yang saksama hasil kemakmuran pentadbiran negara dan negeri.