“Apa azam tahun baharu kali ini?”. Topik ini biasa di-bincangkan bersama rakan sepejabat sewaktu sarapan dalam Januari setiap tahun.

Justeru, belum terlambat untuk penulis menyarankan supaya pembaca menambah satu lagi azam untuk tahun ini iaitu menjadi warga kota yang pembersih.

Azam yang umum namun ramai daripada kita faham bahawa ia berkait rapat dengan kebersihan persekitaran, gambaran sikap dan hati budi penduduk sesuatu tempat.

Kebersihan adalah paparan warga kota yang mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang tinggi, penanda aras keselesaan, kegembiraan dan keselamatan penduduk di tempat berkenaan.

Singapura sebagai contoh, adalah antara negara bandar yang menitikberatkan kebersihan menerusi penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

Rakyat Jepun juga antara yang dikenali sebagai pembersih sehinggakan memyimpan sampah di dalam poket jika tiada tong sampah kelihatan.

Kobe, antara bandar raya besar negara matahari terbit itu dengan populasi 1.5 juta yang sukar untuk mendapati sampah dibuang merata.

Dua bandar ini menjadi model kerana ia adalah kawasan populasi tinggi di Asia yang tersenarai sebagai antara 25 bandar terbersih di dunia.

Tidak mustahil bagi Malaysia mengikut jejak yang sama kerana semua manusia mahu hidup dalam persekitaran yang bersih.

Untuk menjadikan ia rea­liti, semua rakyatnya perlu komi­ted dalam mengurangkan jejak karbon, pembua­ngan sampah merata-rata dan mencegah pencemaran.

Sudah tentu, kebersihan bermula dari diri anda sendiri. Tinggalkan tabiat menjentik puntung merata-rata selepas merokok, melempar plastik bungkusan atau tin minuman keluar dari kenderaan dan sebagainya.

Jadikan kebersihan sebagai azam tahun baharu ini untuk mematangkan kita sebagai manusia, bukan sekadar pertambahan angka yang sia-sia.