Apatah lagi sekiranya masih berada di tempat kerja atau di luar semasa fenomena alam itu berlaku kerana memikirkan kese­lamatan ahli keluarga dan harta benda yang ada di dalam rumah.

Fenomena alam berkenaan memang tidak mampu kita ubah, namun yang sering memburukkan kejadian banjir kilat berkenaan apabila sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik.

Akibat parit, longkang serta sungai tidak diselenggara, apabila hujan lebat, maka berlaku limpahan atau air hujan berkenaan tidak dapat mengalir ke sistem saliran berkenaan yang tersumbat.

Inilah yang sering berlaku. Diharap pihak berkuasa dapat menyelenggara parit, longkang atau sungai dengan baik dan pada masa sama orang ramai tidak membuang sampah-sarap sehingga mengakibatkan sistem perparitan tersumbat.

Akibat sistem perparitan yang tidak dijaga dengan baik, turut sering berlaku fenomena ‘air termenung’ apabila air bah mengambil masa yang lama untuk surut, malah sehingga berminggu-ming­gu.

Nyata keadaan itu menjejaskan kehidupan masyarakat apabila rutin harian mereka terganggu serta turut mengundang pelbagai pe­nyakit bawaan air.

Mungkin ramai yang ambil mudah perkara ini, namun apabila banjir berlaku, bencana tersebut bukan sahaja mengakibatkan ke­rugian besar ekoran kerosakan dan kemusnahan harta benda, malah boleh mengancam nyawa.

Ini kerana hujan lebat dalam tempoh lama boleh menyebabkan tanah runtuh serta ‘mengumpan’ khususnya kanak-kanak untuk bermain air banjir.

Tersilap langkah boleh me­ngor­bankan nyawa seperti yang sering dipaparkan dalam media mengenai kejadian lemas semasa bermain air banjir.

Justeru, penulis menyeru su­paya semua pihak yang ber­kenaan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) segera menyelenggara parit, longkang dan sungai yang tersumbat bagi mengurangkan impak akibat banjir.