Pengarahnya, Leftenan Kol. Che Adam A. Rahman berkata, persiapan itu termasuk keperluan dari segi keanggotaan dan logistik bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang terbabit dalam pengendalian bencana tersebut.

“Apabila cuaca berubah secara drastik kepada panas melam­pau, kemungkinan besar boleh berlaku kebakaran di kawasan tertentu terutama di kawasan hutan ataupun belukar.

“Bagi pihak APM negeri, semua anggota kita bersedia membantu dalam menjalankan operasi kebakaran yang dike–tuai JBPM. Kita salurkan bantuan dari segi sokongan dan juga kekuatan tenaga manusia,” katanya selepas majlis Perbarisan dan Penyampaian Amanat Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-65 APM di Pejabat APM negeri, di sini kelmarin.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, bilangan keanggotaan APM di negeri ini terus dipertingkatkan kepada 32,000 pada pertengahan tahun ini selaras dengan peranannya sebagai sebuah pasukan sukarelawan utama negara yang meliputi pelbagai kepakaran.

Katanya, pada masa ini, anggota APM adalah seramai 28,000 orang dan semua mereka mempunyai kepakaran dalam pengurusan bencana, operasi menyelamat, pengagihan bantuan barangan kepada mangsa bencana dan pengurusan pascabanjir.

“Di samping itu, kita turut menyasarkan untuk memiliki seramai 1,000 anggota di setiap 32 dewan undangan negeri,” katanya.