Julung kali seorang pe-mimpin utama negeri menjadi penceramah atau pensyarah dalam satu dewan kuliah se-perti mana kata Mohd. Khalil (selepas ini akan disebut sebagai Tun) bahawa beliau juga agak 'gugup’ untuk menyampaikan syarahannya di hadapan tetamu.

Menurut Tun, beliau 'gugup’ kerana tetamu di hadapannya itu bukan sebarangan orang kerana mereka merupakan dalam kalangan cerdik pandai kolej universiti namun berbekalkan pengalamannya sebagai Menteri Besar Pahang, Timbalan Menteri Pendidikan, Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO, Tun tidak kekok untuk menghabiskan ucapan beliau disulami dengan pelbagai pesanan dan nasihat kepada audien.

Tun menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kesultanan Me­laka dalam sejarah dan warisan Malaysia moden: Interpretasi Sosio-Politik’ sebagai salah satu syarat bagi memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) di kolej universiti itu.

Ini juga merupakan kali pertama KUIM menawarkan ijazah PhD dan penganugerahan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai penerima pertama apabila KUIM bakal dinaik taraf kepada Universiti Islam Melaka (UIM) tidak lama lagi.

Sepanjang hampir sejam setengah Tun menyampaikan syarahan bermula pukul 3 petang hingga 4.30 petang, Tun menyorot kembali sejarah Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan kepada kajian-kajian yang beliau jalankan bagi memenuhi tuntutan ijazah PhD itu.

Beliau turut bercerita ba­gaimana terpaksa berkorban masa iaitu ‘meninggalkan’ sementara aktiviti golf yang menjadi rutin kegemarannya sebelum ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap pembacaan.

“Saya akan peruntukan empat jam selama tiga hari setiap minggu iaitu bermula dari pukul 12.30 tengah hari sehingga pukul 4.30 petang untuk membaca. Mujurlah isteri saya faham dan turut memberi sokongan,” kata Tun ketika berucap.

Pada akhir majlis, selepas Tun selesai menyampaikan ucapannya, pengacara majlis meminta Tun terus berdiri di atas pentas untuk penyam­paian cenderahati namun Tun secara spontan kembali ke mikrofon dan berkata, “Ini yang saya tidak gemar ini, kalau nak beri saya cenderahati nanti apa pula kata calon PhD lain, kalau hendak beri KUIM kena beri semua,” katanya selamba.

Kepada Tun, kami mempelajari dua perkara di sini iaitu Tun sememangnya begitu mesra dengan rakyat cuma protokol beliau sebagai orang kenamaan yang membataskannya dan seperkara lagi, ilmu pengetahuan yang ada dalam diri Tun amat hebat, dan wajar dicontohi oleh rakyat negeri ini iaitu menanam sifat budaya membaca.