Kebanyakan ahli dalam kumpulan WhatsApp itu kemudian turut mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan pihak berkuasa tempatan (PBT) Muar yang berjaya meng­angkat bandar diraja itu yang terletak berjiran dengan Melaka sebagai sebuah bandar terbersih selain Putrajaya, Pekan di Pahang, Rembau (Ne­geri Sembilan) dan Langkawi (Kedah).

Kalangan mereka menyifatkan, Muar dan Melaka terletak berjiran, sama-sama dianggap lokasi pelancongan dan bersih.

Penulis sebenarnya kagum dengan kejayaan PBT di Muar yang telah mengangkat imej bandar tersebut menjadi ter­kenal malah dimaklumkan Muar juga diiktiraf sebagai bandar paling bersih di ASEAN menerusi Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN (ACTCA) yang akan diberikan di Chiangmai, Thailand pada satu majlis khas tidak lama lagi.

Suatu ketika dahulu, penulis pernah bertugas di bandar tersebut selama tiga tahun dan tahap kebersihan di bandar itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan Melaka.

Untuk tahu sama ada kita berada di Muar atau Melaka lihat sampah yang terdapat di bahu jalan sepanjang laluan menghubungkan kedua-dua negeri itu.

Jika banyak sampah bermakna anda berada di Muar dan jika tepi-tepi jalan itu bersih, anda sudah memasuki negeri Melaka!.

Tetapi itu semua dulu, ia­itu sekitar tahun 2005 hingga 2008 sebelum transformasi bandar Muar setelah diisytiharkan sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja pada Februari 2012.

Pujian perlu diberikan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang bertanggungjawab dalam merealisasikan kejayaan bandar itu sehingga menjadi kebanggaan negara.

Peranan yang dimainkan syarikat konsesi yang dilantik kerajaan bagi mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi zon Selatan iaitu SWCorp serta kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta polisi kerajaan negeri sehingga menjenamakan se­mula bandar Muar harus diberi peng­har­gaan.

Tahniah diucapkan kepada Muar kerana berjaya menjadi antara lima bandar terbersih di Malaysia dan bakal menjadi antara yang terbersih di ASEAN manakala Melaka pula, terus kekalkan kebersihan dan status sebagai ne­geri pelancongan terkenal dan utama di Malaysia.

Sesungguhnya tidak rugi menjadi negeri atau bandar terbersih sesuai dengan motonya Don’t Mess With Melaka.