Isunya kerana sekolah itu diarah­kan Majlis Agama Islam Nege­ri Johor (MAINJ) mengosongkan tanah wakaf itu yang disewanya untuk berpindah ke lokasi baharu sebelum akhir tahun ini.

Berikutan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRI terbabit melakukan gerakan mengumpul tandatangan mendapatkan sokongan Menteri Besar Johor, orang ramai, guru dan bekas pelajar supaya menyokong petisyen mereka agar sekolah itu tidak berpindah.

Sejak itu boleh dilihat simpati datang mencurah-curah daripada netizen terutama apabila MAINJ membuat keputusan muktamad dan tetap enggan melanjutkan tempoh sewaan di tapak itu kera­na telah diserahkan kepada Perbadanan Islam Johor (PIJ) untuk dimajukan.

PIJ bercadang mendirikan satu kondominium lengkap dengan perpustakaan Islam, dewan bagi kegunaan umat Islam, surau dan servis pangsapuri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sehingga kini masih tidak nampak jalan penyelesaian yang tuntas dalam menyelesaikan kemelut tersebut. Tekanan terus diberikan kepada pihak sekolah supaya mereka keluar dari tanah milik MAINJ itu tanpa sebarang syarat.

Sebelum ini MAINJ memberi­kan notis 60 hari pada 2016 me­ngarahkan sekolah itu berpindah. Namun selepas rundingan kedua-dua pihak, MAINJ setuju meluluskan sambungan selama setahun sahaja dan sebelum 31 Disember ini harus berpindah.

Bagaimanapun, pihak pengurusan SRI memohon tempoh ber­kenaan dipanjangkan tiga hingga lima tahun lagi untuk mencari lokasi baharu. Sebenarnya perjanjian sewaan tanah wakaf yang dikendalikan MAINJ itu telah tamat tempoh pada 27 Februari 2015.

SRI Johor Bahru didirikan atas tanah wakaf Pendidikan Tunku Ampuan Mariam yang dihujah pewakaf (niat pewakaf) iaitu Tunku Ampuan Mariam Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1947.

Sekolah itu yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan sebagai institusi pendidikan swasta rendah menggunakan kurikulum kebangsaan dan agama mula dibuka pada 1989.

Beroperasi di atas tanah wakaf seluas kira-kira 3.2 hektar yang mempunyai sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah tadika dan mempunyai sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska).

Bayaran bagi setiap murid warga warganegara adalah RM390 manakala bukan warganegara RM450. Secara keseluruhan, tiga sekolah termasuk taska mempunyai 700 pelajar. Kedudukan SRI Johor Bahru unik kerana berada di tengah-tengah Bandar Raya Johor Bahru, bersebelahan Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Bandar Tinggi Johor Bahru, Sekolah Kebangsaan Saint Joseph dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Saint Joseph.

Dalam hal ini, budi bicara MAINJ sebelum ini amat dihargai apabila melanjutkan tempoh pe­ngosongan tanah itu hingga hujung tahun ini. Begitu juga memberi pengecualian bayaran sewaan (RM5,500 sebulan) bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini bertujuan membantu pihak sekolah menguruskan kos perpindahan ke premis yang baharu.

Penulis berpandangan, adalah wajar jika tempoh yang diminta pihak sekolah untuk tidak berpindah hingga tahun 2021 dipertimbangkan. Ini kerana SRI Johor Bahru masih tidak berkemampuan selain memerlukan peruntukan yang besar.

Sekiranya mereka dipaksa juga berpindah termasuk de­ngan menggunakan tindakan mahkamah, nasib 70 guru dan kakitangan serta 700 pelajarnya akan terumbang-ambing. Mereka hilang mata pencarian dan pelajar pula tidak dapat meneruskan pelajaran.

Difahamkan bayaran yuran yang diperoleh sekolah tersebut hanya cukup-cukup untuk membayar gaji kakitangan, penyelenggaraan dan kos operasinya. Jadi boleh bayangkan bagaimana mereka mampu mencari dana untuk membeli atau menyewa sebidang tanah yang baharu.

Adalah sesuatu yang tidak wajar pendidikan anak-anak ini dikorbankan demi mengejar keuntungan menerusi pembinaan kondomonium itu. Sepatutnya MAINJ harus menjadi 'pelindung dan pejuang' nombor satu kepada SRI Johor Bahru dan bukan sebaliknya.

Tambahan pula SRI Johor Bahru merupakan 'aset' milik orang Islam yang berada di Bandar Raya Johor Bahru dan sepatutnya sekolah ini dibantu walaupun milik swasta lebih-lebih lagi pendidikan adalah fundamental dalam Islam.

Lebih malang lagi apabila se­kolah ini terhimpit dengan masalah ini, tiada pihak yang res­ponsif memperjuangkannya. Tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti politik yang tampil mempertahankan atau berdiri di belakang SRI Johor Bahru.

Bukan sahaja NGO tetapi juga UMNO, PKR, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memandang sepi perkara ini. Mungkin tiada keuntungan politik yang dapat diraih mereka, pihak sekolah dan MAINJ dibiarkan 'me­ngurus' sendiri konflik tersebut.

Skop Semasa tidak dapat ba­yangkan jika perkara itu terjadi kepada SJKC, semua NGO dan parti politik Cina termasuk Persa­tuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan bermati-matian menghalangnya walaupun itu untuk kepentingan kaum dan bukan agama mereka.

Isu berkenaan tidak seharus­nya dilihat dalam ruang lingkup tempurung yang sempit sebaliknya ditinjau dengan luas pemandangan mata burung supaya jangkauannya dapat meren­tasi sempadan politik, bangsa, keagamaan dan semua yang menghalangnya.