Beliau yang diberikan penghormatan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu 1439/2017M itu, masih menjalankan kerja-kerja dakwah selagi kudratnya masih tersisa dan sedang menyiapkan buku kedua untuk ditinggalkan kepada masyarakat.

Ini susulan terhadap buku pertama yang diterbitkan pada 2003, At Tazkirah Wal Mau'izah yang diulang cetak bagi kali ketiga dalam bahasa Mandarin (selepas dalam tulisan jawi dan rumi).

“Anugerah ini menjadi satu tanggungjawab dan perangsang untuk saya meneruskan usaha dalam bidang dakwah.

“Alhamdulillah, masyarakat Te­reng­ganu terutama kalangan anak muda masih lagi kuat berpegang kepada agama Islam dan diharapkan akan

berterusan,” katanya di sini.

Jaafar menerima anugerah itu daripada Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dalam majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri kelmarin dengan hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej umrah bernilai RM10,000 selain persalinan bernilai RM500.

Beliau yang menetap di Kual Ibai di sini, menyimpan minat mendalam dalam bidang agama sejak kecil sehingga membawanya ke luar negara pada 1952 untuk meneruskan pelajaran di Madrasah Al- Mansuriah dan Maahad Al-Ilmi As-Saudi, Mekah malah turut me­nyambung pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir.

Jaafar merupakan anak Melayu pertama menerima Anugerah Pi­ngat Emas Syahadah Tertinggi di Majlis Idul Ilmi yang disampaikan oleh Presiden Gamal Abdel Naseer pada 1962 di samping berjaya mendapat Syahadah Al-Aliah (BA).

Kejayaan KUSZA yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat pengiktirafan antarabangsa merupakan hasil usaha beliau yang berjaya berunding dengan pihak Universiti Al-Azhar bagi pengiktirafan Syahadah Lulusan KUSZA.

Sementara itu, tahun ini, buat julung kali Anugerah Tokoh Dakwah diperkenalkan bagi mengiktiraf individu yang memberi sumbangan terhadap pengajaran agama de­ngan penerima, Lambak Ibrahim, 83, manakala Mohd. Suhaimi Endut (Tokoh Orang Kelainan Upaya).

Ahmad Radhi Razali menerima Anugerah Tokoh Hafiz dan Azanol Muda (Imam Cemerlang) manakala Wahab Embong (Bilal Cemerlang), Minerva Deleon Erival @ Aini Abdullah (Aktivitis Saudara Kita) dan Restoran Hotel Seri Malaysia (Restoran Halal Terbaik).

Abdul Latif Tahar @ Taha, 75, pula menerima Anugerah Keluarga Mithali, dan Farinah Tan Abdullah (Keluarga Tunggal) manakala Masjid Hadhari, Jerteh dipilih sebagai Masjid Kerajaan Terbaik sementara Masjid Al-Azim (Masjid Mukim Terbaik) dan Surau An-Nur Batu 18 Ajil Terengganu (Surau Terbaik).