Jejaka berusia 32 tahun berasal dari Serkam, Merlimau, Melaka itu mengakui, pada awalnya dia tertarik dengan gaya ikon fesyen tersebut yang mempunyai penampilan berbeza tampil dengan imej bermisai dan berjanggut tebal persis jejaka maskulin era Inggeris 60-an.

Menurutnya, walaupun tidak lagi mengikuti sepenuh­nya fesyen itu selepas tiga tahun, jambang dan misai tetap menjadi imejnya namun disimpan lebih pendek dan rapi.

Katanya, trend yang diikuti itu sebahagian daripada minatnya dalam bidang fesyen selain peragaan dan fotografi, Amran mengakui tidak menolak untuk mencuba bakat seandainya diberi peluang.

“Kebiasaannya saya juga menggayakan baju mengikut fesyen semasa dan mengambil gambar, tetapi semua itu hanya dilakukan sekadar suka-suka sambil mengisi masa lapang.

“Saya gemar mencuba perkara baharu, sekiranya menerima tawaran melakukan peragaan fesyen saya tidak akan menolak asalkan tidak melampaui batas,” katanya.

Selain fesyen, menurut Amran, dia turut menjalankan perkhidmatan sebagai perancang kejutan dengan membuat suprise delivery (penghantaran kejutan) bersama isterinya.

Katanya, konsep perniagaan tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan pela­nggan yang mahu mendapatkan khidmat perancang deko­rasi untuk mereka bagi meraikan pasangan sama ada suami isteri, kekasih, rakan-rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja.

“Perkhidmatan seumpama itu dapat memanfaatkan bakat dan kreativiti yang ada dengan membuat sendiri jambangan bunga atau coklat untuk dihantar kepada para pelanggan,” katanya.

Mengakhiri perbualan, dia berharap melebarkan perniagaan yang diusahakan bersama pasangannya selain mencapai matlamat dalam bidang fesyen.