Mereka akan menyertai Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2017 selama empat hari bermula 30 November dari kalangan pemancing tegar itu termasuklah dari Korea, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pertandingan kali ketiga itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM65,000 termasuk enjin bot, bot almunium, bot fibre, motor elektrik dan aksesori memancing sumbangan 47 penaja.

“Sembilan kategori dipertandingkan antaranya Raja AMCT 2017, Raja Seberau, Raja Toman, Raja Istimewa, Terbaik Barramundi dan Pemancing Terbaik.

“Sebanyak 14 buah rumah bot dan 150 bot fiber akan digunakan sepanjang kejohanan,”katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini berhubung program kendalian Monsoon Casting Tournament (MCT dengan kerjasama Jabatan Pelancongan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu.

Yang turut hadir, Pengurus Pelancongan Ketengah, Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Penasihat MCT, Ibrahim Anum atau lebih dikenali dengan nama Ujang.

Empat pemancing terbaik dalam kejohanan itu yang melepasi ujian kelayakan akan berpeluang menyertai International Bass Fishing 2018 yang akan diadakan di Tasik Andong Korea Selatan melalui Anglers Exchange Programme.

Pertandingan berkonsep 'tangkap lepas' dapat membantu membina rangkaian sosial melibatkan pelbagai negara, selain memperkenalkan Kenyir lokasi memancing terbaik di rantau ini.

Tun Ahmad Faisal berkata, sempena dengan kejohanan itu juga pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta akan melepaskan kira-kira 100,000 benih ikan pelbagai spesies.

“Apa yang diperkenalkan sejak awal penganjuran bertujuan bagi menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi habitat di Tasik Kenyir,”katanya.