Menurut Brian, pihaknya te­ruja untuk berkongsi pengalaman bersama pensyarah tersebut bagi membolehkan ilmu mengenai e-dagang dapat disebar luaskan sekali gus memberi manfaat kepada lebih banyak pihak.

“Sebagai contoh, Platform Per­dagangan Dunia Elektronik (eWTP) amat penting bagi menggalakkan perkembangan peniaga kecil dan sederhana terutamanya yang melibatkan golongan muda.

“Kami mahu membuka mata banyak pihak mengenai ba­gai­mana ekonomi dibentuk serta bagaimana pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai perkhidmatan boleh menjadikan rancak menerusi penggunaan teknologi terkini,” katanya di sini.

Kesemua pensyarah terlibat merupakan tenaga pengajar di UUM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), politeknik dan kolej komuniti.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim berkata, program itu diyakini mampu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pensyarah terlibat mengenai amalan terkini e-dagang.

“Ilmu yang diterima ini kemudiannya diharap dapat diaplikasikan ke dalam subjek kurikulum sekali gus memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar,” katanya.

Brian berkata, UUM sentiasa menyokong sasaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan lebih banyak program berkaitan e-dagang seterusnya melahirkan sehingga 10,000 ba­kat usahawan dalam bidang itu setiap tahun.