Bagaimanapun musim perayaan tidak akan mengubah jadual operasi kutipan dan pembersihan sampah oleh Alam Flora Sdn. Bhd . (Alam Flora).
Wartawan Utusan Malaysia ZULFADLI SHARIFUDIN  menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora,  DATUK MOHD. ZAIN HASSAN  bagi berkongsi mengenai persediaan awal  yang dibuat bagi menampung keperluan  sepanjang musim perayaan ini.
Selain tenaga kerja,  Alam Flora turut menyediakan kompaktor serta jentera sokongan pembersihan yang mencukupi.

 

 

UTUSAN: Boleh kongsikan bagaimana Alam Flora menguruskan sisa pepejal sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri ini?

MOHD. ZAIN: Alam Flora memberi jaminan kepada orang ramai bahawa khidmat pungutan sampah dan pembersihan akan berjalan seperti biasa iaitu kutipan dalam tempoh seminggu sekali semasa Aidilfitri minggu depan.

Jika ada keperluan, mereka boleh menghubungi talian Alam Flora dan kami memang bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berhubung perkara ini.

Berapakah jumlah kutipan sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari?

Setiap hari terdapat 45 hingga 50 peratus sisa domestik. Mengikut kajian SWCorp, daripada 3,000 tan sisa pepejal dihasilkan 50 peratus masih elok dan boleh dimakan tetapi akhirnya pergi ke tapak pelupusan. Setiap hari sebanyak 38,000 tan dihasilkan di Malaysia dan 15,000 tan merupakan makanan.

Daripada 15,000 tan itu, 3,000 adalah makanan yang masih boleh dimakan. Ini merupakan fakta yang kita ada.

Itu pada bulan biasa, jika Ramadan peningkatan tidak begitu ketara. Sebagai contoh, Kuala Lumpur mengeluarkan 2,400 tan sisa sehari dan hanya tambahan 150 hingga 200 tan seterusnya menjadi 2,600 tan sehari yang kita dapat.

Jumlah sebenar hanya boleh diketahui selepas Ramadan berakhir.

Bagaimana pula kutipan sisa pepejal sejak awal Ramadan tahun ini?

Sepanjang Ramadan ini, jumlah kutipan sisa pepejal harian mencatatkan peningkatan seba­nyak 150 hingga 200 tan metrik setiap hari.

Jumlah itu merangkumi kutipan keseluruhan kawasan konsesi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Walaupun jumlah kutipan harian mencatatkan peningkatan, tetapi secara keseluruhan di ketiga-tiga kawasan terbabit menca­tatkan jumlah penurunan 1,000 tan metrik pada hari ke-17 Ramadan tahun ini berbanding tahun lepas.

Jumlah keseluruhan sisa pe­pejal yang dicatatkan setakat 17 Ramadan adalah sebanyak 45,000 tan metrik.

Angka tersebut menurun berikutan kesedaran orang ramai untuk mengelakkan pembaziran ma­kanan semakin meningkat.

Apa pandangan Datuk mengenai isu pembaziran juadah makanan di bazar-bazar Ramadan dan hotel-hotel?

Berdasarkan pemerhatian ka­mi, makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan merupakan antara penyumbang utama pe-ningkatan kutipan harian, selain bahan pembungkusan seperti beg plastik dan polistirena.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan membawa bekas makanan guna semula apabila me­ngunjungi bazar Ramadan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik di samping mengelakkan pembelian makanan secara berlebihan.

Begitu juga di hotel yang me­ngadakan bufet Ramadan. Jika makanan tidak dihabiskan, ke mana sisa ini akan pergi?

Sudah pasti dikutip Alam Flora dan kontraktor untuk dibawa ke tapak pelupusan.

Saya berharap pembaziran dapat dikurangkan kerana masih ramai yang memerlukan makanan.

 

Apakah punca utama terjadi pembaziran dan peningkatan jumlah sisa pepejal?

Pembaziran sisa datang dari pada empat peringkat iaitu penge­luaran dari ladang atau kebun.

Kedua, pembungkusan dan ketiga di pasar raya iaitu makanan-makanan yang tamat tempoh. Yang terakhir, kita sendiri dan peniaga.

Akhirnya semua makanan ini dibuang dan terjadinya pembaziran. Alam Flora turut menjalankan kempen Sayangi makanan, Benci pembaziran.

Pastikan tiada pembaziran ketika membeli makanan dan berniaga. Bantulah Alam Flora bagi mengurangkan plastik yang ba­nyak di tapak pelupusan.

Apakah lokasi ‘hotspot’ yang menyumbang kepada pembazi­ran makanan pada Ramadan kali ini?

Di Kuala Lumpur difahamkan terdapat 100 lokasi bazar Ramadan beroperasi.

Mengikut rekod Jalan Masjid India dan Kampung Baru merupakan kawasan tumpuan dan 50 peratus daripada jumlah 150 hingga 200 tan metrik sisa setiap hari datang dari kedua-dua kawasan tersebut.

Bagaimana dengan perkembangan terkini mengenai pelak­sa­naan pengasingan sisa pepejal?

Pengasingan sisa pepejal masih berterusan sejak dijalankan pada September 2015.

Mengikut perkiraan Alam Flora, lebih tiga juta kilogram telah dicapai melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Terdapat peningkatan dan kita akan terus pergiat usaha tersebut secara berterusan.