Tinjauan di sekitar Seremban tengah hari ini mendapati kea­daan jerebu tebal disertakan dengan panas berbahang, menyebabkan orang ramai mengambil keputusan untuk terus berada dalam kawasan tertutup kecuali mereka yang ada urusan yang tidak dapat dielakkan di kawasan terbuka.

Di beberapa sekolah pula, guru, ibu bapa dan pelajar ramai yang mengeluh apabila masalah jerebu ini kembali dan paling menyedih­kan apabila pembelajaran anak terbantut.

Seorang ibu, Kamariah Harun, 54 berkata, aktiviti sehariannya terganggu akibat kualiti udara tidak sihat dan paling membimbangkan pembelajaran anaknya juga terbantut kerana terpaksa bercuti hari ini dan esok akibat jerebu.

“Saya fikir jerebu ini sudah selesai dan tidak sangka kali ini lebih teruk. Saya bimbang apabila anak sering bercuti disebabkan jerebu ini, perjalanan pembelajaran boleh terganggu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini sehingga pukul 4 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) dicatatkan 193 di Se­remban, manakala di Port Dickson, 152 dan di Nilai, 155.

Katanya lagi, masalah jerebu ini bukan lagi menyaksikan tahap membosankan tetapi semakin pe­rit.

“Tolonglah, kita menderita di­sebabkan jerebu ini. Setiap tahun ibarat ‘pesta’. Kami tidak boleh menerima senario ini,” ujarnya.

Bagi pekerja sektor awam, Nur Anisa Abd Rahman, 26, menyifatkan jerebu yang melanda kali ini tidak nampak bila akan reda.

“Minggu lepas, jerebu semakin pulih. Dapatkan kami lihat kehijauan, tetapi minggu ini semuanya diselaputi asap. Sejak dua hari ini, keadaan bertambah teruk, mata saya jadi pedih dan tekak mula gatal dan batuk-batuk.

“Tidak ada cara lain, selain memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar dari rumah,” kata­nya yang duduk di kawasan Ampangan dekat sini.

Seorang pelajar dari Kolej Pembantu Perubatan Seremban, Muhammad Afiq Ashraf Mohd. Nasir, 21, memberitahu, dia mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai penutup mulut dan hidung.

“Saya rimas dengan jerebu ini dan terpaksalah mengambil langkah untuk menjaga kesihatan. Kita tidak boleh memandang ringan soal jerebu kerana pasti itu akan memudaratkan kesihatan, jika bukan sekarang mungkin pada masa akan datang,” ujar­nya.

Sementara itu, bagi peniaga makanan, Bujang Gunung Rajo, 53, dia terpaksa meneruskan perniagaan walaupun keadaan jerebu semakin buruk.

“Hendak marah kepada siapa. Jere­bu datang juga. Yang penting, kita di negara ini tidak menambah lagi keadaan jerebu dengan melakukan pembakaran terbuka, walaupun membakar sampah di halaman rumah.

“Saya akan meneruskan perniagaan kerana itu adalah sumber rezeki untuk menanggung ke­luarga,” ujarnya.