Pegawai Perhutanan Daerah Kuala Pilah, Mohamad Rizal Razali berkata, untuk tahun ini, seramai 5,020 orang daripada 78,856 pengunjung ke hutan lipur itu telah mendaki gunung berkenaan.

Beliau berkata, statistik itu me-nunjukkan aktiviti mendaki gunung semakin mendapat tempat di hati masyakat ketika ini.

“Di Negeri Sembilan, terdapat beberapa gunung dan bukit yang menjadi tumpuan para pendaki antaranya Gunung Angsi, Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu, Gunung Tepalak Buruk dan Gunung Tampin,” katanya ketika berucap pada program lawatan tapak bersama Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz ke Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini hari ini.

Tunku Ali Redhauddin diiri-ngi oleh adiknya, Tunku Zain Al-’Abidin.

Yang turut hadir Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid dan Pegawai Daerah Kuala Pilah, Ali Luman.

Mohamad Rizal memberitahu, hutan lipur tersebut telah ditubuhkan pada tahun 1972 dengan luas kawasan pembangunan ketika ini adalah 6.9 hektar.

Menurutnya, tarikan utama di situ ialah Gunung Angsi, Sungai Batang Terachi, Jeram Kak Lang, taman herba dan taman ular.

Pada program itu, seramai 15 kakitangan Kumpulan RHB Bank yang diketuai oleh Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi, Christopher Loh menyertai Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain memeriksa trek laluan dari hutan lipur berkenaan hingga ke Jeram Kak Lang.

Ini kerana kumpulan bank berkenaan bercadang menaik taraf trek laluan tersebut dengan pembinaan anak tangga dan beberapa kemudahan lain seperti papan tanda arah serta papan tanda yang mempunyai maklumat berkaitan hutan simpan tersebut.

Rancangan tersebut akan dilaksanakan di bawah tanggung jawab sosial korporat (CSR) kumpulan perbankan itu.