Pengurus Besarnya, Ir. Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata, setakat ini semua gerak kerja menaiktaraf kemudahan bekalan air bersih dalam tempoh lima tahun ini masih berjalan seperti biasa.

Wan Mohd Zamri berkata, beliau yakin pihaknya akan terus mendapat manfaat kerana perjanjian antara AKSB adalah dengan Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) dan bukannya Kerajaan Pusat secara langsung.

“Kita belum mengetahui lagi bagaimana dasar kerajaan baharu tetapi saya ingat tidak ada masalah, setakat ini tiada penangguhan kepada projek-projek kita.

“Kita akan teruskan pembinaan loji baharu, kerja penukaran paip dengan rekabentuk sendiri menerusi pembiayaan PAAB dan kita juga mendapat pengesahan untuk menyambung projek-projek yang menggunakan pinjaman Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

“Bagaimanapun projek-projek kemudahan bekalan air di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) yang belum mendapat Surat Setuju Terima (SST) mungkin ditangguhkan dahulu,” katanya pada program Iftar AKSB Bersama Anak Yatim di Wisma Air Kelantan di sini semalam.

Seramai 90 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim Balkis, Taman Kenangan; Madrasah Raudhah, Lundang dan Rumah Kebajikan Peyatim, Taman Sabariah diraikan pada majlis itu.

Wan Mohd Zamri diminta mengulas kesinambungan usaha Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air negeri ini yang ditandatangani pada 14 September 2016 hasil kerjasama antara Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dengan Kerajaan Pas Kelantan.

Untuk rekod, antara sasaran ditetapkan menerusi penstrukturan semula tersebut ialah meningkatkan kawasan liputan bekalan air di Kelantan dari 60 peratus kepada 75 peratus, meningkatkan pengeluaran air dari 420 juta liter sehari kepada 800 juta liter sehari dan mengurangkan air tidak berhasil (NRW) dari 48 peratus kepada 35 peratus. - UTUSAN ONLINE