Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan Akta Industri Pelancongan 1992.

Menurutnya, pihak kementerian dalam proses untuk mendaftarkan semua pengendali hotel dan mereka yang menawarkan perkhidmatan sewa percutian di Airbnb.

“Siri jelajah bagi memberi kesedaran mengenai pentingnya pengusaha ter­libat mendaftarkan perkhid­matan mereka sedang giat dijalankan di negeri ini bermula awal tahun ini.

“Jadi, kita berharap semua penyedia perkhid­matan penginapan se­perti ini perlu berdaftar segera bagi mengelak kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan di bawah akta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pengusaha ho­tel dan perkhidmatan penyewaan rumah percutian dalam talian, Airbnb mendaftarkan perniagaan mereka bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kelewatan berbuat demikian boleh mengakibatkan pengusaha terbabit dikenakan tindakan tegas daripada kementerian dan PBT.

Cai Tung berkata, buat masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai statistik mereka terbabit dalam menawarkan perkhidmatan tersebut, namun usaha memberi kesedaran dan mengenal pasti kumpulan itu sedang dijalankan.

Terdahulu, beliau me­nyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara EcoWorld Development Group Bhd. (EcoWorld Malaysia) dengan Dun-Qian Intelligent Hotel Management Co. Ltd. (Dun-Qian) dari Taiwan bagi memperkenalkan penginapan pintar pertama di Malaysia.

Eco World dan Dun-Quan Intelligent Hotel Ma­nagement Co Ltd Taiwan

Menerusi MoU itu servis apartmen, Eco Nest di Eco Botanic di sini menjadi projek perintis dengan menawarkan perkhidmatan teknologi pintar termasuk kaunter layan diri dan memesan makanan menerusi sistem robotik.