Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Siapa sangka, anak kepada seorang penoreh kini menjadi salah seorang pemimpin negara.

Bukan sahaja berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pontian, malah beliau turut diberi tugas lebih besar apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Nyata, platform itu lebih mendekatkan belia dengan kepemimpinan di peringkat pusat untuk ‘memujuk’ dan membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan ke Pontian.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Luqman Haziq Abdullah, Ahmad Maslan berkongsi aspirasi untuk Pontian pada masa akan datang.


UTUSAN: Sejak dipilih sebagai wakil rakyat, apakah yang Datuk Seri cuba bawa ke Pontian?

AHMAD: Saya memang anak tempatan, Kampung Parit Haji Yusof dan Kampung Lubuk Sipat yang terletak berhampiran, ke­dua-duanya sebagai kampung saya. Saya sebenarnya ingin 'mengkadaqkan' pembangunan, bukan sahaja di kampung saya, tetapi di kawasan lain juga, di seluruh Pontian. Mengkadaqkan pemba­ngunan ini bermaksud, kita sudah ketinggalan dalam kemajuan, saya nak bawa semua pembangunan ini ke Pontian terma­suklah pelbagai kemudahan awam seperti masjid dan surau baharu, dewan, sekolah, gelanggang futsal serta jambatan baharu.

Antara perkara utama, saya bawa ialah pusat kesihatan baharu di Benut dan bazar dan arked Mara, Kolej Tingkatan Enam dan cawangan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) untuk warga Pontian. Sebenarnya bukan mudah nak bawa OUM ke sini untuk meningkatkan pendidikan masyarakatnya.

Jadi Datuk Seri amat memberi fokus terhadap usaha mengupayakan modal insan?

Saya memang utamakan pendidikan sebab pendidikan amat penting kerana boleh mengubah kehidupan sesebuah keluarga itu dalam satu generasi. Anak pekebun boleh jadi ‘DO’ (pegawai daerah), anak penoreh boleh jadi jurutera atau akauntan dan sebagainya. Sebab itu, apabila ada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), saya seboleh-bolehnya akan hadir sendiri sama ada di sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) atau sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, saya juga ingin menjadikan Parlimen Pontian sebagai parlimen contoh. Sebab itu saya wujudkan Anugerah Desa Cemerlang, Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Usahawan Cemerlang, Anugerah Masjid Cemerlang dan Anugerah Sekolah Cemerlang di peringkat parlimen. Lebih membanggakan, Kampung Permata Duku telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Desa Bestari peringkat kebangsaan pada 2016, manakala Kampung Parit Pu­teri Menangis muncul naib johan Anugerah Desa Perdana pada tahun lalu.

Sebenarnya bukan mudah untuk memenangi anugerah tersebut kerana dinilai daripada tujuh aspek dan bersaing dengan banyak kampung di seluruh negara. Di negara kita ada kira-kira 20,000 kampung dan kejayaan kedua-dua kampung tersebut amat membanggakan termasuk saya sebagai wakil rakyat.

Pada PRU-14, BN dan gabu­ngan pembangkang sama-sama melancarkan manifesto. Apa kah bezanya manifesto BN dan pembangkang?

AHMAD: Manifesto BN cukup komprehensif kerana kita ada manifesto di peringkat pusat, negeri dan juga parlimen sedang­kan pembangkang tidak ada begitu. Selain itu, manifesto BN kita panggil aku janji, sedangkan parti pembangkang kata bukan janji. Dan yang paling utama, kita buktikan bahawa mampu tunaikan apabila sudah laksanakan sebanyak 99.6 peratus manifesto PRU-13 dahulu. Pembangkang pula banyak manifesto mereka tak ditunaikan, terutamanya di negeri-negeri yang diperintah mereka.

Dalam pada itu, kita juga ada manifesto khusus untuk orang muda. Kita akui orang muda ini amat penting dan kita sedar mereka perlukan kemahiran, pendidikan dan yang paling utama perlukan pekerjaan. Oleh itu, dalam manifesto BN, kita janjikan tiga juta peluang pekerjaan berbanding sejuta sahaja oleh pembangkang. Orang muda yang hendak berkahwin juga kita beri bantuan dan kita juga ingin wujudkan sejuta peluang kerja dalam bidang digital yang amat dekat dengan golongan muda. Kita nilai itu sahaja, kita sudah tahu manifesto mana yang terbaik dan kita telah buktikan.

BN masih merupakan kepempimpinan dan kerajaan yang terbaik?

Ya benar dan tepat sekali. BN dah urus ekonomi kita dengan baik, simpanan kita bertambah, peluang pekerjaan yang baik dan banyak. Selain itu, di bawah kerajaan BN, negara kita terus stabil, tak ada perkara atau musibah seperti di negara lain, tak ada pertumpahan darah.

Malah, Malaysia dijadikan sebagai negara Islam contoh oleh negara-negara Islam yang lain menerusi dasar wasatiyah yang kita amalkan. Walaupun pembangkang cuba burukkan imej Malaysia di luar negara, saya harap mereka tak berjaya. Berdasarkan perjumpaan saya de­ngan Biro IT dan Media Sosial UMNO di 191 bahagian di seluruh negara, saya yakin BN akan terus memerintah, malah akan memenangi PRU-14 ini dengan majoriti lebih besar. Ini berdasarkan senario politik semasa kerana ‘hardcore’ pembangkang dahulu (Pas) sudah tak bersama mereka. Dan UMNO serta BN juga mempu­nyai ‘winning mentality’ yang kuat dalam ‘peperangan’ kali ini.

Pesanan Datuk Seri kepada pengundi, termasuk orang muda pada PRU-14?

Politik ini melibatkan persepsi dan emosi. Jelas pembangkang cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap BN, pembangkang cuba main emosi. Saya harap kita tidak terpukau dengan apa yang mereka cuba lakukan. Saya harap pengundi buat keputusan berasaskan fikiran, bukannya perasaan, rasional bukan emosional dan cari fakta, bukan auta. Apabila kita rasional, berdasarkan fakta dan berasaskan pemikiran, kita akan buat keputusan yang tepat dengan memilih BN.

Saya harap pengundi khususnya orang Melayu berhati-hati dengan muslihat pembangkang terutama­nya DAP yang berselindung di sebalik logo PKR. Saya harap orang Melayu tidak tertipu dan hujah-hujah tentang DAP yang sudah banyak diperkatakan. Mereka tak menampakkan diri apabila pakai satu logo sahaja. Mereka ini hipokrit, di Sarawak dan Sabah mereka pakai logo roket tapi di sini (Semenanjung) mereka guna logo PKR. Jangan terkeliru dengan mainan yang bahaya ini, tetapi saya yakin orang Melayu sudah dapat banyak maklumat.