Ahli perniagaan tersebut, Datuk Seri Sunny Ung yang dikatakan menulis surat itu telah memberikan penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid dalam satu majlis ringkas di sini baru-baru ini.

Dalam masa yang sama Sunny berkata, beliau telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur berhubung surat itu kerana mendakwa namanya telah digunakan.

“Saya tidak pernah tulis surat ini dan polis pun telah mengesahkan bahawa tandatangan pada surat itu bukan tanda tangan saya.

“Saya minta maaf di atas kekeliruan yang timbul. Saya menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama di nege­ri ini, apatah lagi agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan bersama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) negeri selepas majlis tersebut, di pekarangan masjid itu baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis PPIM negeri, Datuk Seri Mohd. Fared Abdul Ghani dan Penolong Setiausaha masjid tersebut, Zakaria Ibrahim.

Dalam surat bertarikh 10 Januari lalu, penulis mendakwa mewakili kaum Cina di Taman Kenangan di sini meminta supaya azan terutama pada waktu subuh diperlahankan dan dialihkan daripada menghala ke arah kediaman mereka.

Surat tersebut mempunyai nama dan tandantangan Sunny.

Sementara itu, Zakaria berkata, segala kekeliruan yang timbul selama ini tamat dengan penampilan secara terbuka ahli perniagaan tersebut.

“Memang ada kekeliruan kerana surat itu ditulis dengan nama Sunny tetapi apabila kita berjumpa dengannya, beliau menafikan perkara itu.

“Isu ini pada awalnya agak sensitif kerana melibatkan soal agama, jadi dengan penjelasan secara terbuka itu ia menamatkan kekeliruan yang timbul,” katanya.